YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melawat kawasan hakisan pantai yang berlaku di Kampung Nenasi Pantai, di Pekan.

KAJIAN TELITI BANTU SELESAI MASALAH HAKISAN PANTAI

Oleh: Fairus Mohd
Foto:Putera Falliq Hakim

PEKAN, 14 FEBUARI 2020: Kajian lebih teliti diperlukan bagi memastikan projek menahan hakisan pantai pada masa akan datang lebih bersifat jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihak kerajaan perlu memastikan agar hakisan yang berlaku dapat ditangani sebaik-baiknya walaupun ia berpunca daripada fenomena alam yang tidak mampu dikawal manusia.

Menurutnya, masalah hakisan pantai berlaku saban tahun terutamanya melibatkan kawasan perumahan penduduk setempat seperti di Tanjung Batu (Taman Bunga Tanjung) serta di kawasan Merchong.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melawat kawasan hakisan pantai yang berlaku di Kampung Nenasi Pantai, di Pekan.

“Saya telah melihat sendiri keadaan hakisan dan impaknya melibatkan kepentingan ramai. Ia berlaku dengan pantas, jadi satu tindakan penyelesaian yang lebih berkesan perlu diteliti .

“Pada masa ini saya puji usaha Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memilih untuk melaksanakan projek ‘beach nourishment’ di kawasan hakisan sekaligus dapat kekalkan semula keindahan dan nilai estetika pantai di sini,” katanya ketika melawat kawasan hakisan pantai yang berlaku di Kampung Nenasi Pantai, di sini, hari ini.

Pada lawatan itu juga, beliau turut mendengar taklimat daripada Jurutera Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan, Ir Encik Mohamad Azam Mohd Nor mengenai perjalanan serta isu berbangkit berkenaan projek yang sedang dijalankan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkifli.

Dalam pada itu, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berharap agar projek yang berlangsung dapat selesai dalam tempoh lima ke enam bulan lagi sebelum musim tengkujuh tiba.

“Saya harap usaha berkenaan membolehkan peruntukan yang diterima tidak dibazirkan dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta tidak perlu berulang mohon dalam tempoh terlalu singkat.

“Saya juga berharap pihak berkenaan dapat memantau lokasi terlibat dari semasa ke semasa kerana kerana ia turut melibatkan kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Difahamkan kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja melaksanakan projek kawalan hakisan Pantai Nenasi yang bermula sejak Oktober tahun lalu. -PAHANG MEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download