Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda (tiga kiri) ketika berbincang dan meneliti laporan yang diterima daripada penduduk.

KAJI STRUKTUR RUMAH RETAK

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 1 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang akan mengkaji struktur bangunan rumah yang dilaporkan retak akibat kerja-kerja meratakan tanah berhampiran kawasan Perumahan Makmur Fajar Jaya di Gambang, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda berkata, tindakan tersebut diambil selepas pihaknya menerima laporan daripada tujuh pemilik rumah di kawasan terbabit.

Justeru katanya, beliau bersama beberapa agensi kerajaan lain hadir pada program ‘walk-about’ bagi melihat sendiri keadaan rumah yang retak serta berbincang bagi mendapatkan kata putus mengenai permasalahan tersebut.

Seorang penduduk menunjukkan sebahagian keretakan yang dialami di bahagian luar rumahnya.

“Keretakan ini berpunca daripada kerja-kerja meratakan tanah dengan menggunakan kaedah letupan mengakibatkan banyak rumah berhampiran mengalami kerosakan.

“Lokasi berbukit yang diratakan itu adalah bagi tujuan pembinaan perumahan fasa kedua selain membekalkan tanah bagi pembinaan perumahan pemaju yang sama di kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan ‘walk-about’ di Perumahan Makmur Fajar Jaya di Gambang, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, wakil Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang dan Penghulu Mukim Kuala Kuantan 2, Encik Roslan Amat.

Sehubungan itu, pihak kerajaan telah mengarahkan kerja-kerja letupan dihentikan serta-merta bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Dato’ Rahim juga meminta agar pihak berkaitan merujuk perkara terbabit kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya dapat meneliti struktur bangunan rumah yang retak agar tidak membahayakan penghuninya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda (kanan) ketika meninjau keadaan keretakan di dalam rumah Encik Ahmad Farzee (tengah).

Sementara itu, Pemaju Dinamik Budimas, Dato’ Fong Teck Loon berkata, pihaknya sedia bertanggungjawab terhadap semua rumah yang mengalami keretakan dan kerosakan akibat kerja-kerja yang dilakukan oleh pihaknya.

Pengerusi Perumahan Makmur Fajar Jaya, Encik Ahmad Farzee Kamarudin, 57, berkata, rumahnya mengalami banyak keretakan di bahagian luar rumah, bilik dan tandas di rumahnya.

“Letupan kuat yang berlaku pada 24 September baru-baru ini menyebabkan banyak keretakan. Jadi, saya bersama beberapa penduduk lain bersetuju membuat laporan pada 29 September bagi tindakan lanjut,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: