Video CNA berkenaan kenaikan sewaan tanah di Cameron Highlands yang dilaporkan tidak tepat oleh agensi berita dari Singapura itu

KADAR KENAIKAN SEWA TANAH CAMERON HIGHLANDS OLEH CNA TIDAK TEPAT – MENTERI BESAR PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 28 DISEMBER 2020 : Kadar kenaikan sewaan tanah di Cameron Highlands yang dilaporkan oleh Channel News Asia (CNA) baru-baru ini adalah tidak tepat, ujar Menteri Besar Pahang.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu hantaran di laman Facebook beliau berkata video yang dikeluarkan oleh agensi berita dari Singapura itu adalah tidak benar sama sekali dan menunjukkan bahawa Kerajaan Pahang tidak prihatin dengan pekebun di Cameron Highlands.

“Video yang memaparkan beberapa petani dan pemimpin pembangkang ini seolah-olah menunjukkan Kerajaan Negeri Pahang tidak prihatin dengan keadaan semasa para pekebun di Cameron Higlands dengan kononnya menaikkan kadar sewa secara mendadak.

“Perkara yang dinyatakan di dalam video tersebut tidak benar kerana sebelum kita membuat keputusan ini terdapat banyak faktor yang telah dikaji terlebih dahulu untuk memastikan kadar sewaan pada ketika ini sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata nilai sewaan sebanyak RM900 untuk seekar tanah bagi tempoh setahun yang disebutkan di dalam video tersebut adalah kadar Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan tidak termasuk cukai dan pembayaran lain.

“Manakala, nilai sewaan sebanyak RM4,500 bagi seekar tanah untuk setahun pula adalah pembayaran keseluruhan yang terangkum.

“Nilai RM4,500 setahun atau RM375 sebulan ini adalah lebih rendah berbanding dengan kadar sewaan tanah persendirian sebanyak RM12,000 hingga RM14,000 seekar bagi setahun,” katanya.

Tambah beliau lagi, bayaran yang dikenakan kepada pekebun ini boleh dibuat secara ansuran kepada Pahang Corp sebanyak empat kali dalam setahun.

“Bayaran RM4,500 ini akan digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan negeri, terutamanya dalam usaha untuk memulihkan semula alam sekitar yang telah pun terkesan teruk akibat aktiviti pertanian yang dijalankan selama ini.

“Kaedah penyewaan 3 + 2 yang diperkenalkan ini turut juga diambilkira dari rungutan para pekebun yang mengadu bahawa kaedah penyewaan TOL sebelum ini sukar kerana mereka terpaksa memperbaharui lesen menduduki tanah tersebut setiap tahun,” katanya.

Menurut beliau lagi, kaedah baharu ini tidak menimbulkan kesukaran kepada para pekebun dari segi pembiayaan atau kenaikan harga hasil pertanian di kawasan berkenaan.

“Tidak timbul isu kesukaran untuk mendapat pembiayaan dari pihak bank kerana kita sudah mendapat maklum institusi perbankan seperti AgroBank, Maybank dan lain-lain telah pun bersetuju dengan syarat kaedah penyewaan terbaharu ini.

“Tidak timbul isu kenaikan harga produk pertanian dari Cameron Highlands kerana nilai RM4,500 yang dibayar setahun ini tidak memberikan kesan besar kepada keuntungan petani dan peraih,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga terbuka kepada sebarang kritikan dari mana-mana pihak, namun begitu, sebarang pendapat dan kritikan yang diberikan haruslah bersandarkan fakta. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,964 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download