YB. Abd. Rahim Muda (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Forum Kuantan Bandaraya Lestari dan Berdaya Huni di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan.

KADAR CUKAI TAKSIRAN DI KUANTAN KEKAL WALAU BERTARAF BANDARAYA

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 20 FEBRUARI 2020: Kerajaan Pahang memberi jaminan kadar cukai taksiran di daerah Kuantan tidak akan dinaikkan setelah bertukar status kepada bandaraya tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abd. Rahim Muda berkata, jaminan ini diberikan berikutan kenaikan kadar cukai taksiran telah pun dilaksanakan pada 2018.

“Kita beri jaminan cukai (taksiran) dalam tempoh lima tahun ini tidak akan dinaikkan oleh Kerajaan Pahang.

“Ini kerana pada 2018, kita telah naikkan cukai rumah kediaman sebanyak satu peratus, harta perdagangan (1.5 peratus), harta industri (dua peratus) dan tanah kosong (0.5 peratus),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Kuantan Bandaraya Lestari dan Berdaya Huni di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

YB. Abd. Rahim Muda (tiga dari kiri) melawat pameran pada Majlis Perasmian Forum Kuantan Bandaraya Lestari dan Berdaya Huni di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan.

Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), YH. Dato’ Hamdan Hussin dan Pengerusi Jawatankuasa Aspirasi Penduduk dan NGO, Kuantan Bandaraya Lestari, YH. Dato’ Wan Solihi Wan Hassan.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadar cukai baharu akan disemak setiap lima tahun sekali sebelum sebarang perubahan berkaitan dilakukan.

“Kadar cukai akan disemak lima tahun sekali dan memandangkan kita telah semak dan lakukan sedikit kenaikan pada 2018, maka tidak ada kenaikan lagi dalam tempoh ini.

“Cukai-cukai ini yang kita kutip ini yang akan kita pulang balik untuk kegunaan masyarakat di negeri ini, jadi adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk melunaskan cukai mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on google
Google+

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: