Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah melihat pembinaan Rumah Bantuan Banjir di di Kampung Sungai Ganchong, Acheh di Pekan hari ini.

JUNJUNG KASIH TUANKU YANG DI-PERTUAN AGONG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 12 FEBRUARI 2021: “Makcik berasa bangga dan terkejut dengan kurniaan Tuanku Yang di-Pertuan Agong ini… Memang makcik tidak jangka ambil masa begitu cepat,” itu kata ibu tunggal, Puan Norhasnah Mat Yunos, 60, yang menerima sumbangan Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Ganchong, Acheh di sini.

Sebelum itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mangsa banjir yang terjejas teruk di daerah Pekan.

Puan Norhasnah Mat Yunos, 60.

Malah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berangkat bercemar duli turun padang bagi meninjau sendiri pembinaan dua Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Ganchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, hari ini.

Puan Norhasnah ketika ditemui berkata, beliau tidak pernah menyangka akan mendapat rumah diberikan secara percuma hasil kurniaan Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

“Makcik menjunjung kasih kepada Tuanku sebab buat rumah makcik dengan cepat. Memang makcik tidak pernah terfikir untuk dapat rumah setelah tinggal di sini sejak 40 tahun yang lalu.

“Terima kasih Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Saya mendoakan supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selamat dunia akhirat,” kata ibu kepada empat anak itu.

Katanya lagi, rumahnya akan menjadi kawasan pertama yang dinaiki air banjir setiap tahun dan yang terakhir surut.

“Memang boleh dikatakan setiap tahun rumah makcik akan banjir. Alhamdulillah makcik dimaklumkan bahawa rumah yang baharu ini akan dibina dengan tiang yang lebih tinggi. InsyaAllah air banjir tidak akan masuk rumah selepas ini.

“Makcik juga dimaklumkan juga rumah ini akan disiapkan dalam tempoh 12 minggu lagi,” katanya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah melihat pembinaan Rumah Bantuan Banjir di di Kampung Sungai Ganchong, Acheh di Pekan hari ini.

Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mendengar taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Puan Ir. Hafizah Zakaria mengenai pembinaan rumah berkenaan.

Turut berkenan bercemar duli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download