Keadaan banjir di salah satu lokasi di Pekan, hari ini.

JUMLAH MANGSA BANJIR DI PEKAN SEMAKIN MENINGKAT

PEKAN, 11 JANUARI 2021: Lebih ramai penduduk di sekitar Daerah Pekan dijangka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan air sungai dari hulu mula turun sehingga menyebabkan paras Sungai Pahang meningkat.

Sehingga kini berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat 34 PPS dibuka yang menempatkan seramai 2,662 mangsa membabitkan 757 keluarga dari daerah Pekan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama sukarelawan menghantar bekalan bantuan banjir ke beberapa buah kampung di Pekan.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan dalam satu kenyataan di Facebook melaporkan sebanyak enam buah jalan di Daerah Pekan ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air akibat banjir hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan dalam satu kenyataan di Facebook berkata, jalan berkenaan adalah Jalan Kampung Sawah, Jalan Teluk-Lepar, Jalan Pelak-Belimbing, Jalan Belimbing Sri Makmur, Jalan Mentiga-Terapai dan Jalan Belimbing Sri Makmur.

Selain itu tiga jalan pula ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Jalan Pekan-Batu Balik, Jalan Kuantan-Pekan dan Jalan Pulau Keladi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff meneruskan lagi misi menghantar bekalan bantuan banjir sumbangan Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak dan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang ke PPS di beberapa buah kampung.

Beliau berkata, bukan sahaja mangsa banjir yang telah dipindahkan ke PPS menerima bantuan ini malah penduduk yang masih belum berpindah juga telah dihantar bantuan bagi meringankan beban kesemua mereka yang terlibat banjir.

“Kepimpinan UMNO dan Kerajaan Pahang terus melakukan yang terbaik demi membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan.

“Walaupun keadaan laluan masih ditenggelami banjir di beberapa tempat namun kami tetap mengharunginya untuk bertemu dan membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam misi penghantaran bantuan ini. Semoga semua mangsa banjir tabah menghadapi ujian dan kuatkan semangat serta teruskan mematuhi segala SOP dan jaga kesihatan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,159 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download