JUMLAH MANGSA BANJIR DI PAHANG TERUS BERTAMBAH

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 7 JANUARI 2021: Hujan berterusan sesekali lebat menyebabkan keadaan banjir di negeri ini semakin parah apabila seramai 24,318 mangsa daripada 6,540 keluarga dipindahkan ke 282 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 9.30 pagi hari ini.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak sembilan buah daerah di negeri ini terlibat dengan bencana banjir iaitu Kuantan, Maran, Temerloh, Lipis, Raub, Jerantut, Rompin, Pekan dan Bera.

Daerah Temerloh paling teruk terjejas dengan 5,820 mangsa daripada 1,619 keluarga dipindahkan ke 54 PPS, diikuti Maran 5,293 mangsa daripada 1,457 keluarga dipindahkan ke 41 PPS dan Kuantan pula dengan 3,534 mangsa daripada 954 keluarga dipindahkan ke 33 PPS.

Di Lipis pula membabitkan seramai 2,551 mangsa melibatkan 675 keluarga ditempatkan di 40 PPS, Jerantut seramai 2,367 mangsa daripada 568 keluarga ditempatkan di 36 PPS dan Raub membabitkan seramai 2,182 mangsa daripada 573 keluarga membabitkan 37 PPS.

Daerah Rompin pula mencatatkan seramai 986 mangsa daripada 257 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, diikuti Pekan seramai 859 mangsa daripada 240 keluarga ditempatkan di 23 PPS dan di Bera seramai 726 mangsa daripada 197 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

Dalam pada itu Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran peringkat jingga (buruk) dengan hujan lebat dijangka berterusan berlaku seluruh daerah Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin hari ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 2,549 total views,  5 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download