Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
KUANTAN, 09 JANUARI 2021: Jumlah mangsa banjir di sembilan buah daerah di negeri ini tidak banyak berubah apabila mencatatkan seramai 26,525 mangsa daripada 7,160 keluarga dipindahkan ke 283 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
Jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding pagi tadi iaitu seramai 26,647 mangsa daripada 7,255 keluarga dipindahkan ke 292 PPS.
Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Temerloh paling teruk terjejas dengan 12,194 mangsa daripada 3,338 keluarga dipindahkan ke 89 PPS, diikuti Maran 3,697 mangsa daripada 997 keluarga dipindahkan ke 40 PPS dan Lipis pula dengan 2,330 mangsa daripada 613 keluarga dipindahkan ke 36 PPS.
Di Pekan pula membabitkan seramai 2,260 mangsa melibatkan 644 keluarga ditempatkan di 32 PPS, Kuantan seramai 1,094 mangsa daripada 253 keluarga ditempatkan di 14 PPS dan Jerantut membabitkan seramai 1,505 mangsa daripada 399 keluarga membabitkan 27 PPS.
Daerah Raub pula mencatatkan seramai 1,788 mangsa daripada 466 keluarga ditempatkan di 28 PPS, diikuti Rompin seramai 200 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di tiga PPS dan di Bera seramai 1,457 mangsa daripada 401 keluarga ditempatkan di 14 PPS. – PAHANGMEDIA
930 total views, 3 views today