KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2020 : Sebanyak 98 notis dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang dalam Operasi Bersepadu JPJ Pahang 2020 di sini.
Pengarah JPJ Negeri Pahang, Encik Kamarul Iskandar Nordin berkata daripada jumlah ini 78 notis adalah melibatkan saman dan 20 lagi bagi lain-lain notis.
“Kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu sebanyak 28 kesalahan, kesalahan teknikal (24), tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) (14), dan lain-lain kesalahan (12).
“Jumlah kenderaan yang diperiksa adalah sebanyak 1,277 buah dan daripada jumlah ini 823 adalah motorkar, motorsikal (301), dan lain-lain kenderaan (153),” katanya ketika sidang media di Gebeng di sini.
Beliau berkata operasi bersepadu ini turut melibatkan empat agensi lain iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Operasi bersepadu hari ini melibatkan keseluruhan 83 orang pegawai dan anggota daripada lima agensi.
“Ia bertujuan untuk mengeratkan jalinan strategik di antara jabatan dan juga agensi dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan yang boleh mendatangkan risiko,” katanya.
Dalam operasi yang sama sebanyak sembilan orang warganegara asing ditahan pihak JIM kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sebanyak 15 orang telah diperiksa dan sembilan daripadanya telah ditahan bagi pemeriksaan lanjut berikutan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.
“Kesemua yang ditahan merupakan warganegara Myanmar (4), Pakistan (3), dan masing-masing satu bagi Indonesia dan Nepal,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil peluang untuk menghidupkan lesen memandu dan insurans kenderaan masing-masing sebelum berakhirnya bulan ini.
“Kita nak ingatkan orang ramai untuk menghidupkan roadtax kenderaan dan lesen memandu yang telah tamat tempoh sebelum berakhirnya tempoh yang diberikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pada 30 September ini.
“Kita juga ingin mengingatkan bahawa tempoh rayuan sebanyak 70 peratus bagi kesalahan jalan raya kecuali kes berkaitan mahkamah juga akan berakhir pada 30 September ini,” katanya. -PAHANGMEDIA