YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama peserta tilawah pada Majlis Makan Malam Meraikan Para Peserta Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Mewakili Negeri Pahang Kali Ke-63

JOHAN QARI LEBIH BERSEDIA UNTUK WAKIL PAHANG KE MAJLIS TILAWAH PERINGKAT KEBANGSAAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN: Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-63, Encik Mohamad Syaheed Sabri mengakui dirinya kini lebih bersedia berbanding ketika mewakili negeri Pahang ke Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan pada tahun lepas.

Encik Syaheed, 28, berkata, beliau lebih yakin untuk mendapat tempat dalam majlis tilawah akan datang dengan persediaan dan ilmu yang diperolehi.

Encik Mohamad Syaheed Sabri

“Saya jangka boleh capai tempat kedua atau ketiga tahun ini kerana sebelum ini paling tinggi saya dapat adalah tempat keempat pada 2015.

“Saya juga mengikuti kelas tahsin anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) selama tiga hari selepas daripada majlis tilawah baru-baru ini,” katanya yang telah tiga kali mewakili negeri Pahang ke Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Meraikan Para Peserta Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Mewakili Negeri Pahang Kali Ke-63 yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengarah JAIP, YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha; Setiausaha Politik YAB. Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Tajul Razi Abdul Aziz dan Ketua Unit, Unit Hal Ehwal Orang Asli, Pejabat Menteri Besar, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah.

Beliau berkata, bekas Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa, YH. Dato’ Ahmad Faizul Ghazali banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam segi memantapkan lagi cara bacaannya.

“Saya mengikuti kelas bersama Dato’ Ahmad Faizul dua kali sebulan sejak dari dahulu lagi bagi membantu saya memperkemaskan cara bacaan saya.

“Beliau turut memberi maklum balas mengenai cara bacaan saya semasa majlis tilawah baru-baru ini dan meminta saya kemaskan lagi dari segi tajwid dan kefasihan,” katanya.

Bagi johan Qariah, Puan Norhanani Ayob, 24, pula beliau tidak meletakkan sebarang harapan kerana menyifatkan kemenangan beliau baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

Puan Norhanani Ayob

“Ini (mewakili Pahang) adalah permulaan bagi saya. Memang saya tidak letak sebarang harapan untuk mendapat tempat kerana saya pergi untuk mendapatkan pengalaman.

“Menang atau kalah itu soal lain. Yang penting baca dengan niat kerana Allah dan harap Allah mudahkan urusan saya dari segi kesihatan dan kelancaran,” katanya.

Sementara itu, YAB. Haji Dato’ Sri Wan Rosdy mengharapkan kesemua wakil negeri Pahang ke Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan di Sabah nanti mempunyai peluang memperoleh kejayaan.

“Harap tahun ini, peserta dari Pahang dapat menempa kejayaan dalam majlis tilawah itu nanti,” katanya.

Seramai lapan peserta termasuk enam peserta hafazan Al-Quran dalam tiga kategori iaitu hafazan juzuk 1 hingga 10, juzuk 1 hingga 20, dan juzuk 1 hingga 30 akan menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 hingga 21 Februari ini bertempat di International Convention Center Kota Kinabalu, Sabah. – PAHANGMEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: