Pengarah JKM Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.

JKM PAHANG TERIMA 7,400 PANGGILAN SEPANJANG PKP DILAKSANAKAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 21 APRIL 2020 : Sebanyak 7,400 panggilan aduan di terima pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengarahnya, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata jumlah aduan ini meliputi pelbagai kategori termasuklah terputus bekalan makanan, talian kasih dan lain-lain.

“Bagi aduan terputus bekalan makanan ini, pihak JKM Pahang ada menerima 7,139 aduan daripada 12 bilik gerakan iaitu satu bilik gerakan JKMN Pahang dan 11 lagi melalui bilik gerakan di Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negeri ini.

“Aduan yang diterima buat masa sekarang semakin berkurangan berbanding pada awal penguatkuasaan PKP dahulu mungkin disebabkan orang ramai telah menerima bantuan makanan dan mereka yang terputus bekalan ini telah dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata bagi aduan talian Kasih pula, pihaknya merekodkan peningkatan yang mendadak iaitu lebih daripada 100 peratus berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini kita (JKM Pahang) terima panggilan aduan di talian Kasih lebih kurang 50 kes hingga 60 kes dalam sebulan.

“Tetapi dalam tempoh PKP ini iaitu bermula 18 Mac sehinggalah 16 April, data menunjukkan panggilan meningkat kepada 165 kes iaitu peningkatan yang ketara,” katanya.

Beliau berkata pihak JKM Pahang sedang berusaha untuk menyelesaikan semua aduan yang diterima pihaknya secepat yang mungkin.

“Daripada kesemua aduan yang diterima ini, pihak kami telah berjaya menyelesaikan 71 peratus kes yang diterima dan dalam proses menyelesaikan bakinya iaitu 29 peratus lagi secepat mungkin.

“Kami di JKM Pahang tidak dapat menyelesaikan semua ini dalam kadar yang segera berikutan peningkatan mendadak aduan selain kekurangan tenaga kerja jadi kami berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuklah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Skuad Amal dan sebagainya dalam memberi bantuan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata pihak JKM Pahang menyediakan sebuah bilik gerakan yang mempunyai tiga talian iaitu aduan, bantuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kuantan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download