Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 JANUARI 2021 : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang mengagihkan sebanyak 19.1 tan bekalan makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata pihaknya mengagihkan bantuan yang disimpan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM Pahang untuk disalurkan ke depoh di daerah terjejas.
“Setakat ini jumlah ini direkodkan bagi agihan bekalan ini bermula 4 Januari lepas sehingga 13 Januari lepas.
“Sebanyak 7.1 tan barang keperluan asas seperti toto, tikar, selimut, kit kebersihan, dan kit penjagaan diri telah diagihkan setakat ini.
“Bakinya, 12 tan lagi merupakan bekalan bahan makanan berupa beras, gula, minyak masak, biskut, teh, dan sardin,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
Beliau berkata kesemua agihan ini dihantar ke sepuluh buah depoh sementara di daerah-daerah terlibat banjir di negeri ini.
“Penghantaran ini diagihkan ke sepuluh depoh sementara di daerah-daerah yanf terlibat banjir serta kawasan yang terputus hubungan di seluruh negeri ini.
Sebanyak 97 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri ini setakat 12 tengah hari hari ini melibatkan 7,475 mangsa daripada 2,055 keluarga di lima daerah. -PAHANGMEDIA