JKKK PERLU JADI EJEN PERPADUAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Halim Suhairi

LIPIS, 1 FEBRUARI 2020: Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) memain peranan penting dalam pentadbiran sesebuah kampung termasuk menjadi ejen perpaduan kepada penduduk.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, JKKK turut menjadi nadi perantara pentadbiran kampung dengan wakil rakyat serta Kerajaan Pahang dalam usaha membawa pembangunan di kampung.

“Semua pengerusi JKKK yang dilantik perlu memberitahu kepada penduduk kampung supaya bersatu padu, jangan berpecah belah sebab nanti kita yang rugi. Minta mereka bagi sokongan sepenuhnya kepada JKKK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Pengerusi JKKK, Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Kepada JKKK Daerah Lipis dan Perasmian Mesyuarat Agong Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Lipis di Dewan Risiden di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim Muda dan Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Haji Abdul Rahman Mohamad.

Pada majlis itu Seramai 81 orang Pengerusi JKKK dari Daerah Lipis menerima watikah pelantikan mereka.

Dalam majlis yang sama, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk disalurkan kepada WI Daerah Lipis bagi melaksakan pelbagai program kemasyarakatan.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Samak Jani, Zulrindan Zulkifli, 53, berkata, langkah Kerajaan Pahang mewujudkan JKKK ini adalah satu perkara yang baik kerana dapat memberi kemudahan kepada rakyat.

“Saya amat menyokong langkah Kerajaan Pahang kerana jika JKKK tidak dilaksanakan akan menyebabkan permasalahan di peringkat rakyat terutamanya untuk membuat pelbagai urusan di peringkat Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Kemahang, Mohd Nor Rozali Harun, 49, penyerahan watikah itu adalah satu pengiktirafan kepada mereka untuk memimpin di kawasan masing-masing.

“Kami adalah suara Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar Pahang yang akan bekerja kuat memaju negeri ini,” katanya.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: