Jangan Kejar Nama Dalam Salur Bantuan Banjir – KDYMM Al-Sultan Abdullah

Oleh Shahrinnahar Latib

KUANTAN : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan semua pihak supaya membantu mangsa banjir dengan ikhlas dan bukan bertujuan meraih populariti atau nama semata-mata.

Seri Paduka Baginda bertitah, setiap bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir itu mestilah dilakukan dengan ikhlas dan bukan untuk keuntungan diri sendiri sahaja.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

“Saya harapkan mereka yang mahu membantu, buat dengan ikhlas… Jangan ambil kesempatan untuk untung diri sendiri atau semata-mata untuk cari undi.

“Tolong mangsa kalau mereka masih lagi dilanda masalah bantuan. Kalau ada keupayaan untuk bersedekah, kita bersedekah. Kalau ada keupayaan untuk beri sehelai dua baju, hulurkan sedikit kepada mereka.

“Kalau kita ada beras yang lebih hulurkanlah ini sedikit sebanyak meningkatkan sifat positif dan ikhlas dalam membantu mangsa banjir,” titah baginda ketika mencemar duli mendengar Persembahan Taklimat Bagi Persediaan Agensi Tindak Balas Menghadapi Bencana Tahun 2019/2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Taklimat berkenaan disempurnakan oleh YH. Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Abd. Jalil Hassan.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YH. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Baginda bertitah, semua agensi yang terbabit dengan pengurusan bencana termasuk pemimpin setempat diminta menjalankan tanggungjawab secara bersama dan perlu laksanakan dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Saya berharap semua pihak perlu peka dengan kesukaran sedang dihadapi mangsa banjir yang mana kediaman mereka rosak atau ditenggelami air, jadi kita perlu membantu mereka dengan sebaik mungkin,” titah baginda.

Dalam pada itu, pihak bertanggungjawab menguruskan pusat penempatan sementara (PPS) perlu memastikan segala kemudahan asas diperlukan dapat disediakan dengan sempurna.

“Saya ada beberapa kali melawat PPS sebelum ini dan antaranya tidak mempunyai kemudahan yang sepatutnya malah ada bilik air yang tidak mempunyai bekalan air,” titah baginda.

Sementara itu, baginda berpuas hati dengan taklimat dan persediaan yang sudah dilakukan Kerajaan Negeri Pahang dalam menghadapi bencana banjir setakat ini.

“Saya berharap semua persiapan ini dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah jika banjir besar melanda Pahang atau negeri lain,” titah baginda.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download