Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LIPIS, 23 NOVEMBER 2020 : Jalan sepanjang 8km (fasa 1) bagi menghubungkan Kampung Tanjung Gahai ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai bakal disiapkan menjelang awal Disember ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini proses pembinaan telah siap lebih awal berbanding jadual dan beliau yakin ia dapat digunakan dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi.
“Jika sebelum ini penduduk setempat terpaksa menggunakan laluan yang agak jauh iaitu kira-kira 16km, namun kini mereka dapat menikmati kemudahan jalan raya yang selesa dan menjimatkan masa selepas jalan ini siap dibina sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Cakna Tok Wan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, Sungai Koyan, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau sempat melakukan lawatan ke tapak Projek Jalan Tanjung Gahai ke TKPM Jelai di Kampung Kuala Medang yang turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan Pengarah JKR Pahang, Ir Hafizah Zakaria.
Beliau berkata lagi, jalan yang menelan belanja RM1.7 juta itu dapat memberi kemudahan kepada ramai penduduk daripada Tanjung Gahai, Kuala Koyan dan Bertang.
Tambahnya, jalan tersebut bukan sekadar dapat memberi kemudahan untuk pergi ke TKPM semata-mata, sebaliknya dapat digunakan penduduk untuk ke kebun getah dan kebun sawit.
Malah katanya, kewujudan jalan itu juga akan dapat meningkatkan nilai hartanah semasa sekali gus dapat membantu penduduk kampung di kawasan terlibat. – PAHANGMEDIA
361 total views