Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama tetamu kehormat pada Majlis Penjenamaan Semula Jalan Silang kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak di Bandar Lama Kuala Lipis, hari ini.

JALAN SILANG DITUKAR KEPADA JALAN TAN SRI ABDUL RAZAK BAGI HARGAI JASA BEKAS AHLI PARLIMEN LIPIS ITU

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LIPIS, 7 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang bersetuju menukar nama Jalan Silang di bandar lama Kuala Lipis kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak sebagai menghargai jasa dan bakti pemimpin itu.

Allahyarham Tan Sri Abdul Razak Husin merupakan anak jati Kuala Lipis yang berasal dari Kampung Budu, Benta yang telah menyumbang banyak jasa dan bakti ketika bersama-sama menubuhkan UMNO.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan plak kepada YH Dato’ Mohd Taufik yang merupakan anak kepada Tan Sri Abdul Razak sambil disaksikan seorang lagi anak Allahyarham iaitu YB Dato’ Sri Mohd Soffi pada Majlis Penjenamaan Semula Jalan Silang kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak di Bandar Lama Kuala Lipis, hari ini.

Allahyarham yang merupakan bapa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Mohd Soffi, kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Lipis pada 1960 sehingga 1971 sebelum meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Tan Sri Ghazali Shafie.

Justeru, pemilihan nama Jalan Tan Sri Abdul Razak ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham Tan Sri Abdul Razak selama memimpin daerah Lipis.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan ketika berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Jalan Silang kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak di Bandar Lama Kuala Lipis, hari ini.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjenamaan semula jalan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri selain menyatakan rasa penghargaan terhadap pemimpin terdahulu yang banyak menabur bakti dalam pembangunan sesuatu kawasan.

Katanya, kesinambungan kepimpinan seseorang tokoh harus diteruskan oleh pemimpin terkemudian bagi memastikan segala usaha dan perancangan pembangunan dapat dinikmati secara konsisten oleh rakyat.

“Jika tiada kesinambungan berlaku, maka perkara tidak baik akan muncul terutama dalam pentadbiran dan kepimpinan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama tetamu kehormat menikmati sarapan pagi pada Majlis Penjenamaan Semula Jalan Silang kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak di Bandar Lama Kuala Lipis, hari ini.

“Adalah amat penting untuk pemimpin meneruskan legasi dan usaha pemimpin terdahulu bagi memastikan setiap perkara dapat dilaksanakan dengan baik terutamanya melibatkan sesuatu pembangunan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penjenamaan Semula Jalan Silang kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak di Bandar Lama Kuala Lipis, hari ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan meluluskan sejumlah peruntukan kepada Majlis Daerah Lipis bagi menjalankan kerja-kerja menaiktaraf laluan bertangga di sepanjang Jalan Tan Sri Abdul Razak.

“Saya yakin Jalan Tan Sri Abdul Razak ini akan menjadi tarikan kepada pelancong kerana di sepanjang laluan bertangga ini terdapat pelbagai kedai dan gerai makanan yang menjadikan lokasi ini unik dan berbeza dengan tempat lain,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error