Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Pelaksanaan Projek Jalan Pos Betau ke Kampung Semoi Lama, Pos Lenjang bagi kawasan Dewan Negeri Jelai, Daerah Lipis hari ini.

JALAN RAYA BERNILAI RM11.7 JUTA HUBUNG 37 KAMPUNG ORANG ASLI

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

LIPIS, 6 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dalam proses menyiapkan jalan raya bernilai RM11.7 juta bagi menghubungkan 37 perkampungan Orang Asli, di sini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laluan sepanjang 15.4 kilometer itu bermula dari Pos Betau dan berakhir di Pos Lenjang itu dijangka siap pada April 2022 iaitu dalam tempoh kira-kira 18 bulan.

“Saya yakin dengan pembinaan jalan ini akan dapat memudahkan lagi pelbagai urusan termasuklah menghantar anak-anak ke sekolah, menjual hasil pertanian seperti pisang, petai dan lain-lain. Ini sekali gus dapat meningkatkan ekonomi setempat khususnya di kalangan masyarakat Orang Asli.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Saya juga berharap ianya akan memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli dalam menghantar anak-anak ke sekolah dan dapat meminimumkan kadar keciciran pelajar di kalangan masyarakat ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pelaksanaan Projek Jalan Pos Betau ke Kampung Semoi Lama, Pos Lenjang bagi kawasan Dewan Negeri Jelai, Daerah Lipis hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato Abd Rahim Muda dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, YH. Ir. Hafizah Zakaria.

Beliau berkata, projek ini membuktikan bahawa Kerajaan Pahang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat khususnya melibatkan kemudahan fasiliti bagi memudahkan sistem pengangkutan untuk pelbagai urusan di kawasan pedalaman.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan)merasmikan Pelaksanaan Projek Jalan Pos Betau ke Kampung Semoi Lama, Pos Lenjang bagi kawasan Dewan Negeri Jelai, Daerah Lipis hari ini.

Dalam perkembangan lain, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang akan menyalurkan bantuan kepada pemilik premis yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Benta malam tadi.

“Alhamdulilah dalam kejadian semalam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan saya masih lagi menunggu laporan siasatan punca kebakaran,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: