YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (duduk tengah) bergambar beramai-ramai selepas mengadakan taklimat bersama jurutera daerah dan wakil Felda Water di Sekolah Kebangsaan Simpai, Pekan di sini.

JALAN DAN BEKALAN AIR UNTUK KESELESAAN PENDUDUK SIMPAI

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 21 FEBUARI 2020: Projek bina dan naiktaraf jalan sejauh empat kilometer serta bekalan air secara menyeluruh di Kampung Simpai seperti mana yang diluluskan oleh pentadbiran Kerajaan BN sebelum ini bakal memberi lebih keselesaan kepada kira-kira 2,000 penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, usaha menyediakan kemudahan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini terus dilaksanakan tanpa sebarang had dan syarat.

“Projek bina dan naiktaraf jalan bernilai RM 8.66 juta yang diluluskan Kerajaan BN ini bakal siap pada November depan dan ia memberi kemudahan kepada penduduk untuk keluar masuk ke jalan besar.

“Projek bekalan air bernilai RM60 juta yang sedang dijalankan di Kampung Simpai dan 13 buah lagi kampung Orang Asli di seluruh negeri Pahang juga merupakan satu lagi usaha kita memastikan penduduk terlibat menerima bekalan air bersih bagi kegunaan harian,” katanya ketika ditemui selepas taklimat daripada Jurutera Daerah (JKR) dan wakil Felda Water berkenaan kedua-dua projek di Sekolah Kebangsaan Simpai, di sini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkefli, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), Encik Suhamain Sulan dan Pengurus PAIP Daerah Pekan, Encik Muhamad Faiz Abu Zaki.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin yang juga ADUN Bebar berkata, sebelum ini pihaknya telah mengusahakan bekalan air bersih kepada SK Simpai dan kemudahan itu kini telah dinikmati para guru serta 200 murid sekolah berkenaan.

“Saya berharap agar penduduk menggunakan kemudahan yang disediakan sewajarnya seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Kontraktor yang dilantik juga diingatkan agar memastikan setiap kerja atau pembinaan yang dilakukan menepati piawaian dan Standard Operation Procesure (SOP) yang ditetapkan.

YB. Haji Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (dua kanan) menjawab soalan penduduk ketika mengadakan taklimat bersama jurutera daerah dan wakil Felda Water di Sekolah Kebangsaan Simpai, Pekan di sini.

“Antaranya ialah menurap kembali jalan yang ditebuk untuk kerja-kerja penanaman paip dengan baik sekaligus mengelak kemudahan-kemudahan lain terjejas akibat projek yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu Batin Kampung Simpai, Encik Marjan Aris yang ditemui berkata, usaha menaiktaraf jalan di kampungnya membawa kemudahan dan banyak kebaikan kepada mereka.

“Sudah pasti saya dan penduduk di sini gembira dengan kemudahan yang disediakan. Sebelum ini banyak kenderaan kami rosak sebab lalu jalan tanah merah dan berlubang-lubang.

“Jadi, jalan yang disediakan akan kurangkan kos baiki kereta atau motor rosak yang dihadapi sebelum ini. Begitu juga dengan bekalan air bersih yang diterima dapat memastikan kami dan seluruh keluarga di sini hidup dalam keadaan yang jauh lebih baik,” katanya. -PAHANG MEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error