Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin (tujuh dari kanan) bersama Menteri Besar Pahang YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama sebahagian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang dan tetamu jemputan pada perasmian pembukaan semula Taman Negeri Rompin hari ini.

JABATAN PERHUTANAN NEGERI PAHANG REKOD 11,301 PENGUNJUNG DALAM TEMPOH PRAPEMBUKAAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

ROMPIN, 15 SEPTEMBER 2020 : Seramai 11,301 pengunjung direkodkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam tempoh prapembukaan Taman Negeri Rompin.

Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata prapembukaan Taman Negeri Rompin ini bermula 15 Ogos sehingga 30 September ini juga telah berjaya mengutip yuran masuk sebanyak RM3,060.

“Daripada jumlah pengunjung tersebut, seramai 11,196 orang adalah penduduk tempatan dari daerah Rompin dan bakinya seramai 105 orang lagi adalah pengunjung daripada luar Rompin.

“Sepanjang tempoh prapembukaan ini, pihak jabatan dan operator memberi kemasukan secara percuma kepada semua anak jati Rompin, namun kadar yuran dikenakan ke atas pelawat dari luar daerah Rompin,” katanya.

Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin ketika menyampaikan ucapan pada perasmian pembukaan semula Taman Negeri Rompin hari ini.

Beliau berkata mulai 1 Oktober ini, semua pengunjung ke Taman Negeri ini akan dikenakan yuran masuk mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

“Kadar yuran masuk terbaharu yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 9 Disember 2019 menyatakan bagi warganegara Malaysia, yuran masuk bagi orang dewasa adalah RM30, dan bagi kanak-kanak adalah RM10.

“Bagi warga emas pula yuran adalah sebanyak RM15, kumpulan pelajar lebih daripada 30 orang adalah secara pukal iaitu RM100, dan percuma bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata yuran masuk bagi bukan warganegara Malaysia adalah berbeza iaitu RM50 bagi dewasa, RM30 (kanak-kanak), kumpulan pelajar (RM200) dan percuma bagi OKU.

Keindahan kawasan Taman Negeri Rompin yang boleh dilawati kepada orang ramai.

Beliau berkata pihak JPNP juga telah melaksanakan polisi ‘Tiada Beg Plastik’ di Taman Negeri Rompin ini bagi menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan ini.

“Polisi ini adalah polisi yang julung kalinya diperkenalkan di Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri yang diuruskan JPNP sendiri.

“Pelaksanaan polisi ini mendapat sambutan di luar jangkaan pihak jabatan kerana kami berpendapat ia sukar diamalkan dan dibudayakan oleh pengunjung tetapi saya difahamkan pengunjung sangat mematuhi pelaksanaan polisi ini.

“Malah pihak operator hanya mengambil masa dalam 15 minit sahaja untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dengan kutipan sisa sampah yang sangat minimum,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: