Sebahagian warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi yang dijalankan di Genting Highlands hari ini.

JABATAN IMIGRESEN GEMPUR GENTING HIGHLANDS, 46 WARGA ASING DITAHAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

GENTING HIGHLANDS, 23 DISEMBER 2020 : Seorang bayi berusia 10 bulan antara 46 warga asing yang di tahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang dalam satu operasi yang dijalankan hari ini.

Pengarahnya, Encik Muhammad Hatta Kassim berkata kesemua mereka di tahan di kawasan rumah kongsi Kampung Samawond di sini kerana pelbagai kesalahan.

“33 orang daripadanya ditahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1957/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Manakala 11 lagi ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1956/63, dan dua orang lagi ditahan kerana penyalahgunaan pas,” katanya.

Kampung Samawond yang digempur Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi di Genting Highlands hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang di sini hari ini yang melibatkan 47 pegawai dan anggota JIM selain dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di laluan kampung tersebut.

Menurut beliau, kawasan rumah kongsi Kampung Samawond ini dipercayai telah wujud sejak setahun lepas.

“Kawasan ini (rumah kongsi) kita percaya dah ada dalam setahun kat kawasan ini. Kita juga sebenarnya dah masuk ke kawasan ini semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dalam bulan Mei tetapi semua operasi masih digantung pada waktu itu.

“Di kawasan Genting Highlands ini kita dah buat operasi di Amber Court sebelum ini tetapi di Kampung Samawond ini pertama kali operasi dijalankan,” katanya.

Beliau berkata menurut siasatan awal pihaknya, terdapat 138 warga asing yang tinggal di lebih 30 pintu rumah kongsi di kawasan berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada mereka yang tinggal di sini telah melarikan diri terlebih dahulu memandangkan kawasan ini antara yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hari ini merupakan hari terakhir dikuarantinkan.

“Kesemua mereka juga telah menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua mereka dilaporkan negatif,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk direman selama 14 hari.

Pihaknya juga akan memanggil pemilik tanah untuk siasatan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membenarkan warga asing berada dalam premis. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download