ISU TULISAN JAWI: MPK TERUSKAN PENGUATKUASAAN, BELUM TERIMA NOTIS MAHKAMAH

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 14 FEBRUARI 2020: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) masih menunggu notis mahkamah berhubung dakwaan tiga ahli perniagaan yang memfailkan satu permohonan semakan kehakiman supaya membatalkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda di kedai mereka yang disiarkan oleh sebuah portal berita semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Puan Norkamawati Kamal berkata, pihaknya masih menunggu notis dari mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, MPK hanya mengetahui hal tersebut menerusi laporan beberapa portal berita justeru pihaknya masih menunggu notis rasmi sebelum mengadakan sebarang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Pahang berkenaan isu tersebut.

Norkamawati Kamal

“Walau bagaimanapun, penelitian perlu dilakukan terhadap dakwaan mereka bertiga sebelum mengambil sebarang keputusan dan tindakan dan ini akan mengambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang, di sini, pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MPK akan tetap meneruskan penguatkuasaan tulisan jawi sebagai menyahut baik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Katanya, sehingga kini berdasarkan operasi penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 95 peratus peniaga memberikan maklum balas positif terhadap perlaksanaan tulisan jawi di papan tanda premis perniagaan mereka.

MPK juga sangat bertoleransi kepada peniaga-peniaga yang sudah sedia menggantung papan tanda perniagaan mereka agar menampal pelekat tulisan jawi sahaja, tanpa mengira saiz selagi ianya boleh dilihat dan dibaca.

Menjawab dakwaan saman yang dikeluarkan kepada salah seorang mereka pada 4 Januari lepas, Puan Norkamawati menjelaskan, tindakan tersebut diambil kerana mereka melanggar syarat lesen perniagaan oleh MPK.

“Mereka disaman bukan kerana tidak mempamerkan tulisan jawi tetapi kerana tidak mematuhi syarat lesen dan setiap kesalahan akan dikenakan kompaun dengan kadar RM250,” katanya. – PAHANGMEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error