Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Johari Hussain (tengah) bersama Ketua Pegawai Teknologi ASSB, Encik Steve Hu; Pengarah JTK, Encik Pezman Che Hussin dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Andansura Rabu pada sidang media di Wisma Sri Pahang.

ISU PEMBERHENTIAN PEKERJA ALLIANCE STEEL SELESAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 06 JUN 2020 : Kerajaan Negeri telah menyelesaikan isu pemberhentian pekerja Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) dengan menawarkan dua pilihan kepada pekerja yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berkata, keputusan itu diperoleh selepas dua mesyuarat selama hampir empat jam bersama wakil pekerja dan pengurusan syarikat ASSB.

Beliau berkata dua pilihan yang ditawarkan oleh ASSB kepada pekerja terlibat adalah pertama, membayar pampasan kepada pekerja yang bersetuju untuk diberhentikan dan pilihan kedua, membenarkan pekerja yang ingin kembali bekerja di ASSB diterima semula.

“Pihak ASSB juga telah memberikan komitmen akan melihat semula jumlah mereka yang diberhentikan. Mana-mana pekerja yang boleh diserapkan semula, akan mereka lihat semula.

“Pihak majikan juga telah memberi satu komitmen bahawa mereka akan melayan dan menerima mereka (pekerja yang diberhentikan) serta memberi kerjasama yang saksama dan adil.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.

“Bagi mereka yang sanggup menerima pampasan, mengikut Akta Perkhidmatan 1955 bermakna mereka perlu kepada perkiraan oleh pihak majikan dan pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) boleh membantu mereka mengira pampasan yang sebenar dalam tempoh 30 hari ini,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang.

Turut hadir, Ketua Pegawai Teknologi ASSB, Encik Steve Hu; Pengarah JTK, Encik Pezman Che Hussin dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Andansura Rabu.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta ASSB untuk mengkaji semula syarat untuk meminta para pekerja tinggal di asrama seperti yang diarahkan pihak pengurusan sebelum ini.

“Kita minta pihak ASSB dalam hal ini mengkaji semula dengan khidmat nasihat oleh Jabatan Kesihatan dan JTK.

“Jadi saya mohon pihak ASSB untuk menilai kaedah saringan dan kaedah keluar masuk pekerja-pekerja ini supaya tidak lagi timbul isu seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata pihak Kerajaan Negeri memberikan tempoh 30 hari kepada pihak syarikat bagi menyelesaikan isu ini.

“Memandangkan isu ini isu baharu, kita tak nak tergesa-gesa jadi kita bagi tempoh masa 30 hari tapi tak semestinya 30 hari itu dah sampai 30 hari baru selesai. Pihak ASSB pun saya tengok bagi komitmen dalam menghadapi suasana ini, dan dia kata mungkin dalam masa dua minggu pun benda ini dah selesai.

“Cuma kita tak nak letak satu tempoh yang rushing, yang singkat dan sebabkan pihak syarikat melebihi tempoh yang dijanjikan. Jadi tempoh 30 hari ini dilihat selesa. Dan jangka masa 30 hari ini kita lihat mampu untuk menyelesaikan secara menang-menang dan harmoni.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Johari Hussain (kanan) bersama Ketua Pegawai Teknologi ASSB, Encik Steve Hu pada sidang media di Wisma Sri Pahang.

 

“Kita juga mencadangkan ASSB membenarkan penubuhan kesatuan pekerja supaya sebarang isu yang timbul dapat dibincangkan dengan baik agar tidak menimbulkan keresahan para pekerja,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan seramai 380 pekerja warga tempatan terlibat dalam pemberhentian oleh ASSB selepas didakwa enggan mengikuti arahan pihak pengurusan untuk tinggal di asrama, dan 182 daripadanya bersetuju untuk kembali bekerja.

Untuk rekod, terdapat 4,787 pekerja bekerja di ASSB yang terletak di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng dengan 2,938 adalah pekerja warga tempatan dan 1,849 lagi merupakan warga China dengan 314 pekerja warga China ini turut diberhentikan kerja atau diberhentikan secara sukarela. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: