Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang menerima insentif pembelajaran secara online berjumlah RM50 daripada Kerajaan Pahang.

INSENTIF RM50 UNTUK PELAJAR SPM SANGAT DIPERLUKAN UNTUK PROSES PEMBELAJARAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 2 DISEMBER 2020: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang menerima insentif pembelajaran secara online berjumlah RM50 daripada Kerajaan Pahang menyifatkan bantuan berkenaan sangat diperlukan bagi membantu proses pembelajaran kendiri.

Nurul Iffah Dulfiasman

Seorang calon SPM dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ihsan, Nurul Iffah Dulfiasman berkata, bantuan ini sangat bertepatan ketika pandemik COVID-19 sedang menular kerana semua pelajar perlu menggunakan akses internet bagi meneruskan pembelajaran di rumah masing-masing.

“Ini merupakan insentif terbaik kepada pelajar SPM tahun ini untuk belajar menerusi online secara efektif dan lancar,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Owen Phang Ding Guo

Sementara itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad iaitu Owen Phang Ding Guo bersyukur kerana bantuan insentif tersebut dapat membantu mereka melakukan pembelajaran kendiri pada ketika ini.

“Saya gembira dan bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri dan YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy memberi bantuan untuk kami meneruskan pelajaran,” katanya.

Wan Muhammad Zabir Wan Zailani

Bagi rakannya, Wan Muhammad Zabir Wan Zailani pula menzahirkan rasa gembira kerana Kerajaan Negeri sangat prihatin dan mengambil berat terhadap pelajar di negeri ini.

“Saya berasa sangat bersyukur dan beruntung kerana lahir sebagai anak jati Pahang kerana keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap pelajar-pelajar seperti saya dan juga rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Zulkarnain Roslan dari SMK Paya Besar pula berharap bantuan ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua calon SPM 2020 yang bakal menduduki peperiksaan itu pada tahun hadapan.

Iskandar Dzulkarnain Roslan

Iskandar berkata, meskipun sesetengah pihak beranggapan bahawa bantuan insentif RM50 bagi setiap pelajar adalah jumlah yang kecil, namun ia sangat bermakna bagi penerima yang dapat dimanfaatkan untuk menimba ilmu menerusi akses internet.

“Dengan bantuan insentif RM50 ini saya berharap pelajar-pelajar dapat memanfaatkannya dengan sepenuhnya,” katanya.

Alya Qistina Alias

Alya Qistina Alias dari sekolah yang sama berharap agar semua calon dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan dengan cara yang betul dan berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan terhadap keperluan pelajar pada ketika ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang sanggup membantu kami untuk meneruskan lagi proses pembelajaran kendiri ini bagi menempuh SPM yang akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,182 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download