Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), YB. Dato’ Saifuddin Abdullah bersama Youtuber yang berjaya pada Bengkel Kemahiran Youtube dan Komuniti Sinema 2020 (Zon Timur) di Pusat Kovensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di Kuantan, hari ini.

IBU BAPA DIGALAK BERI SOKONGAN KEPADA MINAT ANAK

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 26 September 2020 : Golongan ibu bapa disaran memberikan galakan dan sokongan terhadap minat dan kecenderungan anak-anak di dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan teknologi baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), YB. Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, pada zaman penumpuan teknologi ini, ibu bapa perlu menggalakkan pengembangan minat anak-anak.

“Pada hari ini, penumpuan teknologi membolehkan semua kerja kreatif dilakukan menggunakan satu peranti sahaja dengan menggunakan pelbagai platfom untuk berkarya dan menyerlahkan potensi dan bakat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Bengkel Kemahiran Youtube dan Komuniti Sinema 2020 (Zon Timur) di Pusat Kovensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), En. Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), YB. Dato’ Saifuddin Abdullah.

YB Dato’ Saifuddin berkata, antara saluran yang boleh digunakan adalah Youtube yang menjadi tumpuan dalam pengembangan bakat dan kreativiti golongan muda pada hari ini.

Katanya, penumpuan teknologi sentiasa berubah seiring perkembangan semasa dan sangat mempengaruhi kehidupan terutama di dalam bidang kreatif.

“Jika suatu ketika dahulu, teknologi digunakan untuk suatu tujuan yang khusus seperti telefon hanya digunakan untuk menelefon, kamera digunakan untuk fotografi dan televisyen hanya digunakan untuk menonton.

“Namun hari ini semua itu boleh digunakan dengan menggunakan hanya satu peranti sahaja iaitu telefon pintar,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, bentuk penumpuan teknologi ini akan sentiasa berubah seiring perubahan teknologi semasa pada masa akan datang.

Penumpuan teknologi ini juga mengurangkan limitasi dan memberikan kebebasan kepada pengkarya khususnya golongan muda namun kementerian bersama Finas telah menyediakan garis panduan dan undang-undang berkaitan.

KKMM menerusi Finas juga akan mengurangkan birokrasi dalam penyaluran bantuan dan dana kepada pengkarya dan bakat baru dengan meningkatkan fasiitasi terhadap bakat muda di negara ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: