KUANTAN, 4 OKTOBER 2020: Kerajaan Negeri Pahang mengambil berat isu pelajar-pelajar anak Pahang, yang telah mendaftar masuk di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan berada lebih awal di tempat tinggal sewaan masing-masing.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini susulan arahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar pelajar-pelajar tidak perlu mendaftar secara fizikal, tetapi melakukannya menerusi atas talian.
Belia berkata, bagi yang telah mendaftar dan tinggal di asrama-asrama yang IPTA berkenaan sediakan, seperti arahan yang dikeluarkan oleh pihak KPT, mereka diminta kekal berada di sana sehingga arahan lanjut KPT keluarkan.
Menurutnya, arahan ini berikutan berlakunya peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
“Sehubungan itu, sebagai langkah persediaan, saya mohon para pelajar dalam kalangan anak-anak Pahang yang terbabit (yang tinggal di tempat-tempat tinggal sewaan luar kampus) supaya dapat memaklumkan kedudukan mereka sama ada melalui Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) bersama dengan kepimpinan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Pahang atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di IPTA masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Beliau juga berkata, para pelajar boleh memberi maklumat yang diperlukan supaya Kerajaan Negeri dapat berusaha untuk menyalurkan bantuan-bantuan yang bersesuaian.-PAHANGMEDIA
269 total views