KUANTAN, 5 APRIL 2020, Ketua Projek I3S Cubicle, Dr Ahmed Kamarulzaman (kiri) melakukan demonstrasi penggunaan kotak saringan khas yang diberi nama, I3S Cubicle Mark IX, untuk kegunaan menyaring pesakit yang mempunyai gejala Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) disini hari ini.

HTAA HOSPITAL PERTAMA TERIMA KUBIKEL I3S ELAK JANGKITAN KETIKA SARINGAN COVID-19

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 05 APRIL 2020 : Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjadi hospital pertama di negara ini menerima kubikel yang mampu membantu mengelak jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan ketika proses saringan dijalankan.

Ketua Projek I3S Cubicle, Dr. Ahmed Kamarulzaman berkata kubikel yang diberi nama I3S ini mampu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 berikutan kaedah yang digunapakai ini tidak memerlukan kontak langsung di antara petugas dengan pesakit.

“Dengan adanya kubikel ini, apa yang kita dapat buat adalah kita dapat mengasingkan pesakit dengan petugas kesihatan dengan satu barrier (penghalang).

“Jadi dengan adanya barrier ini, maka masa kontak antara pesakit dengan petugas kesihatan akan jadi minima dan kontak juga akan jadi minima,” katanya ketika ditemui selepas selesai pemasangan kubikel I3S di HTAA hari ini.

Beliau berkata tujuan utama pembinaan kubikel ini adalah untuk mengurangkan penggunaan PPE yang semakin kritikal di seluruh dunia.

Ketua Projek I3S Cubicle, Dr Ahmed Kamarulzaman melakukan demonstrasi penggunaan kotak saringan khas yang diberi nama, I3S Cubicle Mark IX, untuk kegunaan menyaring pesakit yang mempunyai gejala Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) disini hari ini.

“Buat masa ini kami masih dalam perbincangan dengan pakar penyakit berjangkit untuk tentukan sama ada PPE yang macam mana yang diperlukan untuk diguna di dalam kubikel ini,” katanya.

Beliau berkata kubikel bernilai RM13,000 sebuah ini mempunyai tiga bilik yang mana menempatkan pesakit, petugas kesihatan dan bilik bagi mengelakkan penggunaan udara kitar semula di dalam kubikel ini.

Beliau berkata HTAA dipilih sebagai hospital pertama menggunakan kubikel ini disebabkan pihak yang bertanggungjawab di dalam pembinaan ini berada di sini dan turut tersekat di dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang dijalankan.

Projek I3S Cubicles ini yang mendapat bantuan dana daripada sumbangan orang ramai ini dibangunkan oleh para pengamal perubatan daripada Klinik Awfa KotaSAS, Pertubuhan Medical Mythbusters Malaysia (M3), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Belia.my dan kumpulan Facebook, Ini Sains Beb yang mengumpulkan individu dengan pelbagai latar belakang dan kepakaran bagi menjalankan projek ini.

Dr. Ahmed berkata pihaknya juga telah dihubungi oleh pelbagai pihak untuk mendapatkan penjelasan dan kerjasama dalam membina kubikel ini.

“Pihak Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah menghubungi kami untuk geran bagi pembinaan 10 unit kubikel lagi.

“Dan InsyaAllah akan ada beberapa lagi klinik dan hospital yang akan menggunakan kubikel ini selepas ini dan kami akan letakkan priority bagi klinik dan hospital yang berada di dalam zon merah terlebih dahulu,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin memberikan sumbangan dana bagi pembinaan kubikel I3S ini, boleh menyalurkan bantuan ke Tabung Bantuan COVID-19 Yayasan Muamalat Belia pada akaun 06028010030038 di Bank Islam. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: