Hotel DarulMakmur Jerantut

HOTEL DARULMAKMUR JERANTUT NAFI PREMIS DITUTUP AKIBAT COVID-19

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 01 OKTOBER 2020: Pihak Hotel DarulMakmur Jerantut menafikan dakwaan kononnya hotel berkenan ditutup akibat terdapat pelanggan yang dijangkiti COVID-19 seperti ditularkan di media sosial.

Pengurusnya, Encik Mansor Mat Isa berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Jabatan Kesihatan yang mengesahkan tiada pelanggan yang dijangkiti wabak tersebut dan hotel ini masih beroperasi seperti biasa.

“Berikutan berita berkenaan COVID-19 yang tular dan melibatkan pelanggan kami pada 29 September lepas, telah disahkan bahawa tiada pelanggan kami yang positif COVID-19.

“Kami juga ingin memaklumkan bahawa pihak kami menutup perniagaan semalam untuk tujuan sanitasi sebagai langkah berjaga-jaga, namun telah beroperasi semula seperti biasa hari ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Pengurus Hotel DarulMakmur Jerantut, Encik Mansor Mat Isa

Beliau berkata, hanya Taman Air DarulMakmur yang ditutup sementara berikutan arahan pihak berkuasa berkenaan pusat riadah dan pusat hiburan.

Beliau berharap pelanggan hotel ini tidak bimbang untuk menggunakan perkhidmatan mereka kerana pihak hotel mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan oleh kerajaan.

“Kita memastikan hotel ini disanitasi seperti mana yang diarahkan oleh Kerajaan dan pekerja kita juga mengamalkan SOP yang betul ketika berurusan dengan pelanggan,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak pengurusan hotel memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi berikutan penularan berita ini.

“Kami harap pelanggan-pelanggan kami terus menyokong kami dan tidak perlu bimbang kerana kami mengamalkan SOP seperti saranan kerajaan,” katanya.

Hotel DarulMakmur merupakan hotel milik penuh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang yang terletak di tengah-tengah bandar lama Jerantut.

Hotel yang mula dibuka pada 2012, kini mempunya 80 bilik eksklusif turut dilengkapi dengan kolam renang, gimnasium dan coffee house yang dibuka setiap hari selain rangkaian perniagaan Hotel DarulMakmur seperti Sri Makmur Coffee House, Tepian DarulMakmur dan Taman Air DarulMakmur. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 97 total views

Please follow and like us:
error
error: