Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato' Haji Nor Azmi Mat Ludin menyampaikan sumbangan yuran pendaftaran ke Universiti dan lain-lain bantuan kepada Siti Khalijah Ahmad, 20, di Kampung Pamah Kasih, disini hari ini.

HASRAT PELAJAR CEMERLANG SAMBUNG PELAJARAN KE UNIVERSITI TERCAPAI

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

TEMERLOH, 30 SEPTEMBER 2020: Hasrat seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang kurang berkemampuan di Kampung Pamah Kasih di sini untuk menyambung pengajian ke universiti akhirnya tercapai selepas dibantu oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin.

Siti Khalijah Ahmad, 20, sebelum ini ingin mengambil keputusan menangguhkan kemasukannya ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dalam bidang Sastera kerana kesempitan hidup.

Siti Khalijah ketika ditemui berkata, beliau berterima kasih kepada YB. Dato’ Haji Nor Azmi kerana memberi sumbangan untuk membayar yuran daftar pengajian selain bayaran sewa van dan rumah tumpangan untuk keluarga yang akan menghantarnya esok.

Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin memberi kata-kata dorongan dan nasihat kepada Faridah Mahidin bersama anaknya agar terus tabah menjalani kehidupan.

Remaja yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 itu berkata, keluarganya tidak mampu untuk membayar yuran pengajian kerana ibunya hanya bekerja sebagai tukang cuci di kilang dengan pendapatan tidak seberapa.

“Alhamdulilah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan sumbangan ini saya dapat menyambung pelajaran ke universiti. Esok saya bersama keluarga akan bertolak ke Pulau Pinang untuk mendaftar di USM.

“Terima kasih kepada YB dan Alumni Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh kerana membantu menampung yuran pengajian saya. Jasa anda semua saya tidak mampu balas,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Sementara itu ibunya, Faridah Mahidin, 49, berkata, beliau tidak mampu untuk menghantar anaknya ke universiti kerana hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan bersih hanya RM600 sebulan.

“Malah dua anak saya adalah Orang Kurang Upaya (OKU). Memang sumbangan ini dapat meringankan beban saya sekeluarga. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

Siti Khalijah Ahmad (kanan) bersama ibu dan kakaknya bersyukur diatas sumbangan dan bantuan dari YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Haji Nor Azmi berkata, beliau memberi sumbangan peribadi sebanyak RM3,600 kepada keluarga ini bagi membayar yuran pendaftaran, sewa van dan sewa rumah tumpangan.

“Selain itu, saya dimaklumkan oleh Alumni Sekolah Menengah Ab u Bakar juga membuat satu tabung untuk Siti Khalijah supaya dapat menyambung pelajaran. Duit tabung itu nanti akan diserahkan secara bulanan kepada beliau.

“Saya juga berharap Siti Khalijah dapat belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga pada masa akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 159 total views

Please follow and like us:
error
error: