Ahli Parlimen Pekan, YB Dato' Sri Najib Tun Razak bersama penerima Rumah Rakyat Pahang, En. Abdul Rahim Ibrahim di Kampung Jalan Tegak, Kuala Pahang, Pekan.

HASRAT MILIKI RUMAH SENDIRI TERCAPAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

PEKAN, 07 FEBRUARI 2021: Hasrat Encik Abdul Rahim Ibrahim di Kampung Jalan Tegak, di sini, untuk memiliki rumah sendiri sejak 28 tahun lalu tercapai selepas menerima kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) hari ini.

Encik Abdul Rahim, 59, yang menumpang di rumah ibu mertuanya sebelum ini melahirkan rasa gembira dengan pemberian rumah ini.

“Saya merasa gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memberi rumah ini kepada kami.

“Rancangnya lepas-lepas ini kami akan masuk ke rumah ini, teruja akhirnya dapat duduk rumah sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menerima replika kunci rumah RRP daripada Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Najib Tun Razak di Kampung Jalan Tegak, di sini, hari ini.

Penerima Rumah Rakyat Pahang, En. Abdul Rahim Ibrahim di Kampung Jalan Tegak, Kuala Pahang, Pekan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali, Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Sementara itu, seorang lagi penerima daripada Kampung Alor Ara, Encik Kamar Ariffin Abdul Rahim, 50, turut melahirkan rasa bersyukur dengan pemberian rumah RRP ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Pahang yang memberi rumah ini kepada saya dan keluarga sebagai tempat berteduh yang cukup selesa.

“Sebelum ini saya menyewa hampir 13 tahun kerana dengan gaji sebagai penjual gas memasak memang tak cukup untuk buat rumah sendiri,” katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak menyempurnakan penyampaian Rumah Rakyat Pahang Parlimen Pekan bagi Dewan Negeri Peramu Jaya kepada En. Kamar Ariffin di Kampung Alor Ara di Pekan.

Dalam masa yang sama, Dato’ Sri Najib berkata, projek rumah RRP ini merupakan satu konsep yang sangat bermakna kepada orang ramai terutamanya golongan yang susah.

“Ini kerana Kerajaan Pahang menganugerahkan sebuah rumah yang bernilai RM65,000 dan pihak yang menerima itu cuma memerlukan penyediaan tanah sendiri sahaja.

“Jadi pemberian Kerajaan Negeri ini sudah tentu akan memberi banyak keselesaan kepada tuan punya rumah dan akan menjamin masa depan yang lebih selesa kepada penerima dan keluarganya.

“Jadi kepada Kerajaan Pahang saya mengalu-alukan langkah yang dimulakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, mudah-mudahan ia dapat diteruskan lagi, InsyaAllah,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download