KUANTAN, 4 MAC 2020: Kerajaan bersetuju Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2020 dipinda daripada 6 Jun 2020 (Sabtu) kepada 8 Jun 2020 (Isnin).
Ketua Setiausaha Negara, YH. Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, kerajaan juga bersetuju supaya mulai tahun 2021 hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda adalah pada Isnin pertama bulan Jun setiap tahun.
“Hari Keputeraan Rasmi baginda ini adalah diisytiharkan sebagai hari kelepasan am,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, perubahan itu dilakukan sepanjang tempoh pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. – PAHANGMEDIA