HANYA 6.4 PERATUS ISI RUMAH DI PAHANG DAFTAR E-CENSUS

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 1 OKTOBER 2020: Fasa pertama prapendaftaran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci secara dalam talian (e-CENSUS) negeri Pahang menyaksikan 6.4 peratus isi rumah telah didaftarkan.

Pengarah Perangkaan Negeri Pahang, Puan Yusnita Mohd Yusof berkata, berdasarkan status terkini, masih ramai yang belum menyelesaikan e-CENSUS dengan lengkap.

“Mengikut data yang direkodkan, 6.4 peratus tersebut mewakili unjuran keseluruhan isi rumah ialah 499,100 orang sehingga tarikh pendaftaran fasa pertama yang berakhir 11.59 malam semalam.

“Kalau ikut yang mana baru terima kod jemputan (IC) serta yang mengikuti dan mendapatkan IC di klinik e-CENSUS, boleh melengkapkan pengisian e-CENSUS sehingga 6 Oktober (Selasa), jam 11:59 malam.

“Bagi yang masih belum menerima poskad yang disertakan IC masing-masing, Jabatan Perangkaan akan membantu menyelesaikan padanan alamat tempat kediaman dan membekalkan IC dengan kadar segera sebelum pengisian berakhir pada 6 Oktober 2020,” katanya.

Pengarah Perangkaan Pahang, Puan Yusnita Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Pekan 2035 (Penggantian) Pahang di Hotel Ancasa Royale, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata fasa kedua yang bermula 7 Oktober 2020 pada 12.01 tengah malam akan turut melakukan bancian ke atas gelandangan di sekitar kawasan Kuantan.

“Kita akan pergi ke semua kawasan yang disasarkan bagi melakukan bancian dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Kita juga harap semua yang mengisi eCencus dapat melengkapkan semua data yang diperlukan dan tidak meninggalkannya separuh jalan tanpa menjawab semua soalan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 4,000 sukarelawan yang melepasi temuduga akan menjalankan tugas menghantar poskad serta membuat bancian secara manual (mengisi borang) terutamanya di kawasan pedalaman.

“Cuma di kawasan yang mempunyai kes aktif (COVID-19) seperti di daerah Jerantut kita tangguh dulu sehingga dapat tarikh yang sesuai untuk bancian rumah ke rumah dapat dilaksanakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 476 total views