Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara, Encik Abd Rahman Mat Derani.

HANTAR BANTUAN GUNA KERETA API KENANGAN TIDAK DAPAT DILUPAKAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 14 DISEMBER 2020 : Pengalaman menghantar bantuan banjir menggunakan kereta api antara detik yang tidak dapat dilupakan oleh pesara, Encik Abd Rahman Mat Derani ketika mengimbau saat berkhidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang.

Encik Abd. Rahman, 60, yang berkhidmat sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat JKM di sini berkata, penghantaran bantuan pada tahun 1980 dahulu adalah menggunakan kereta api dan bukannya lori seperti sekarang.

“Masa itu, saya diarahkan untuk hantar bekalan minyak bot yang akan digunakan oleh pasukan penyelamat banjir dari Lipis ke Merapoh.

“Saya seorang sahaja yang menghantar bekalan dalam 10 tong minyak pada tengah malam. Tapi sekarang kita dah tak rasa guna kereta api untuk hantar bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 dan Sekalung Budi Jasamu Dikenang Tahun 2020 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang serta Pelancaran GPSK Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah JKM Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman menguruskan lori bantuan makanan ketika banjir besar melanda negeri ini pada tahun 2013 dan 2014.

“Pada masa itu, saya menguruskan empat buah lori bekalan yang membawa barang makanan dan keperluan dari Kuantan ke Temerloh.

“Kami terpaksa guna jalan dalam melalui Negeri Sembilan sebelum sampai ke Temerloh kerana jalan yang ada telah terputus hubungan dan mengambil masa lebih 12 jam untuk sampai ke Temerloh,” katanya.

Beliau yang memulakan tugas di JKM Lipis sebelum bertukar ke Kuantan berkata, selepas selesai menghantar barangan ke Temerloh, beliau seterusnya perlu menghantar bekalan ke Jerantut pula.

“Jalan yang ada, tetap jalan dalam. Terpaksa masuk ikut jalan jauh, jalan Muadzam sebelum sampai ke Jerantut,” katanya yang telah berkhidmat selama 20 tahun di negeri ini.

Sementara itu, seorang lagi pesara JKM Pahang yang diraikan hari ini, Puan Zaniah @ Zamiah Jaafar, 60, berkata beliau mengambil masa seminggu untuk menerima realiti akan bersara tahun ini.

“Sepanjang 24 tahun bekerja, saya anggap mereka ini keluarga saya sendiri, saya sayang mereka macam anak dan keluarga sendiri jadi bila nak bersara ini saya akan rasa sangat kehilangan malah mereka juga memanggil saya Mak.

“Saya bekerja dengan niat untuk menolong orang jadi saya pasti akan merindui keletah mereka selepas ini,” katanya yang berkhidmat sebagai Pegawai Penyediaan Pemakanan di Desa Bina Diri Jerantut.

Seramai 14 orang pesara JKM Negeri Pahang 2020 telah diraikan dalam majlis ini bersama-sama 47 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download