KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang kepada Haji Mohd Baki Othman yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.

HAJI MOHD BAKI DIPILIH TOKOH MAAL HIJRAH NEGERI PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 20 Ogos 2020 – Pendakwah dan bekas Pesuruhjaya Pas Pahang, Haji Mohd Baki Othman dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis tersebut baginda turut menyampaikan lima anugerah lain iaitu Anugerah Pengkhidmat Agama kepada Pegawai Psikologi dan Kaunseling, Sharifuddin Isa Usman; Anugerah Inovasi Kakitangan kepada Ahmad Irfan Ikmal Hisham; Anugerah Inovasi Jabatan diberikan kepada Markas Wilayah Laut 1 ; Anugerah Mubaligh Saudara Baru kepada Muhammad Hasrui Muhammad Akhir dan Anugerah Perkampungan Orang Asli Islam Terbaik, Kampung Orang Asli Panderas, Kuala Krau.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang kepada Haji Mohd Baki Othman yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.

Sementara itu, Haji Mohd Baki, 80, yang ditemui menzahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas anugerah yang diterima malah menyifatkannya sebagai anugerah kepada setiap pendakwah sepertinya.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya tapi untuk semua pendakwah. Ia bukan anugerah peribadi… tokoh-tokoh yang melakukan dakwah perlu menepati makna apa yang dikehendaki berdasarkan hijrah.

“Anugerah ini juga merupakan sanjungan dan penghargaan daripada pihak kerajaan negeri terhadap usaha-usaha dakwah,” kata bapa kepada 11 orang anak dan 30 orang cucu ini.

Haji Mohd Baki Othman menunjukkan plak Tokoh Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang yang disampaikan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.

Figura ilmuan berasal dari Kampung Kening, Chenor Maran ini berharap agar anugerah berkenaan memberi manfaat kepada semua pihak.

Beliau yang menerima pendidikan dalam bidang Pengajian Islam di Pondok Lubuk Tapah Kelantan dan bidang Syariah dari Darul Ulum, Mekah ini sentiasa gembira dengan usaha menghidupkan ilmu agama di surau dan masjid.

“Ia melambangkan kepentingan ilmu dan usaha menimba ilmu agama tanpa henti amat penting bagi memastikan kelangsungan hidup sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya.

Haji Mohd Baki Othman bersama keluarganya menunjukkan replika cek Tokoh Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang yang disampaikan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Panglima Raja, YAM Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta barisan Exco Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: