Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail merasmikan Wacana Rukun Negara dan Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Yayasan Pahang disini hari ini.

GOLONGAN MUDA PERLU HAYATI RUKUN NEGARA – MB

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 7 September 2020 : Golongan muda disaran supaya menghayati rukun negara dalam usaha melahirkan masyarakat yang harmoni dalam berbilang kaum di negara ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan muda bukan sahaja perlu patuh kepada rukun negara malah mereka perlu mendalami dan memahami kelima-lima rukun tersebut sebelum menggunapakai di dalam kehidupan seharian.

“Bagi melahirkan rakyat yang cintakan negara, kita semua sebagai rakyat Malaysia haruslah berpegang kepada satu prinsip iaitu prinsip rukun negara sebagai panduan dalam memupuk semangat perpaduan di dalam negara berbilang kaum seperti di Malaysia,” katanya.

Antara tetamu dan peserta yang hadir ke Wacana Rukun Negara dan Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Wacana Rukun Negara dan Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Program tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Naib Canselor Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Zainuddin dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail ditemani Naib Canselor, UCYP
Prof. Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Haji Zainuddin dan Presiden MUBARAK Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman beramah mesra dengan golongan muda yang hadir ke Wacana Rukun Negara dan Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang.

Dalam ucapannya, beliau berkata, golongan muda pada hari ini perlu mengambil peduli keadaan situasi negara kerana mereka merupakan perintis kepada masa hadapan negara yang terdiri daripada berbilang kaum.

Justeru adalah wajar untuk memahami dan menjiwai prinsip rukun negara itu serta disebarluaskan kepada masayrakat supaya ilmu tersebut dapat dikongsi demi kebaikan bersama.

Program anjuran Tun Ghazali Shafie Institute for Strategic Leadership itu mendapat kerjasama daripada MUBARAK, UCYP dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) itu disertai oleh 250 peserta dengan menghimpunkan pemimpin terdiri daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan serta Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS).

Forum wacana ini mengupas tentang isu semasa melibatkan pemahaman, semangat patriotisme dan nilai-nilai rukun negara yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan golongan belia yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk penyebaran informasi.

Golongan muda tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail.

Lima wakil pelajar telah terpilih untuk membincangkan forum wacana tersebut iaitu Nurul Mazriefa Zakaria (Siswi UMT), Mahendran Shilowaras (Siswa UCYP), Mohamad Irfan Mohd Zamri (Parlimen Belia Negeri Pahang) dan Tee Choon Ser (Belia Negeri Pahang). – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download