KUANTAN, 14 DISEMBER 2020: Kerajaan Pahang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil bagi tahun ini yang ditetapkan iaitu RM774.02 juta.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sehingga 11 Disember 2020 jumlah hasil yang berjaya dikutip adalah RM803.6 juta iaitu pencapaian kira-kira 108 peratus.
Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak termasuk juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Pahang.
Menurutnya, kejayaan itu menunjukkan Pahang mampu untuk mencapai tahap negeri maju dengan memaksimakan potensi sumber terhad melalui S-GLC.
“Kerajaan Pahang mempunyai sembilan syarikat induk S-GLC dan 42 anak-anak syarikat yang terlibat di dalam pelbagai aktiviti perniagaan meliputi sektor-sektor seperti perladangan, perlombongan, pembangunan infrastruktur, pengurusan air mentah dan terawat, pengurusan utiliti, pendidikan dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar GLC Negeri Pahang di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, di sini, malam ini.
Beliau juga berkata, sebahagian daripada sumbangan yang diterima daripada S-GLC ini telah dan akan digunakan untuk bantuan-bantuan kebajikan dan bantuan-bantuan am kepada rakyat.
Menurutnya, tahun ini sahaja Kerajaan Pahang telah menyalurkan hampir RM30 juta bagi tujuan bantuan meliputi bantuan perubatan, modal perniagaan, aktiviti-aktiviti persatuan dan sebagainya.
“Saya yakin dengan kerjasama erat antara semua pihak, matlamat kerajaan untuk terus memacu sosioekonomi Negeri Pahang melalui S-GLC akan menjadi satu agenda yang lestari serta berkesinambungan,” katanya.-PAHANGMEDIA
1,045 total views, 6 views today