Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, menghadiri ke Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang Tahun 2020 di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang.

GIGIH, SABAR DAN IKHLAS GURU BENTUK INSAN BERKUALITI

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 16 JUN 2020: Kegigihan mendidik terutamanya dalam dunia tanpa sempadan menjadi cabaran bagi guru untuk membentuk generasi baharu.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, generasi muda kini terdedah dengan dunia tanpa sempadan dan sukar diduga
kemampuan dan keinginan mereka.

“Maka, sifat sabar dan ikhlas menjadi ramuan utama guru dalam mendidik anak-anak ini menjadi insan yang berkualiti, seterusnya membentuk generasi baharu
yang bakal memimpin dan mambangunkan negara akan datang,” katanya pada sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang di Dewan Kediaman Menteri Besar Pahang, hari ini.

Dato’ Haji Rosdi Bin Ismail, Mantan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Pahang. Anugerah disampaikan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, YB. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta
YH. Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Zaimi Abu Bakar.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengiktiraf jasa guru dalam memartabatkan pendidikan di negeri ini.

“Saya sangat terharu atas daya usaha dan susah payah guru dalam menyampaikan ilmu terutama sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebagai contoh
Cikgu Mohd Huzaire Ahmad dari Sekolah Kebangsaan Felda Mempaga 2, Bentong yang berkerusi roda dan lumpuh sebahagian badan, sangat
gigih dengan mempelbagaikan kaedah dan teknik bagi memastikan murid-muridnya mendapat ilmu sebaik mungkin.

“Malah, Cikgu Huzaire yang mengajar mata pelajaran Sejarah, Seni dan Muzik mampu menganjurkan pertandingan lukisan bertemakan COVID-19 untuk
murid-muridnya walaupun hanya melalui saluran media sosial,” katanya.

Menurutnya lagi, rasa bangga dan ucapan tahniah ditujukan kepada Cikgu Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Pekan yang telah
disenarai pendek untuk Anugerah Global Teacher Prize tahun 2020.

“Cikgu Samuel mempunyai pendekatan yang sangat berbeza dan menarik, dalam teknik pengajarannya sehingga mengangkat pencapaian murid-murid asli di Runchang
dalam subjek Bahasa Inggeris.

“Pendekatannya juga bukan sahaja melonjakkan prestasi Bahasa Inggeris, malah kehadiran murid dalam kalangan Orang Asli ke sekolah berkenaan
juga meningkat kerana mereka minat untuk belajar,” katanya.

Hajah Narimah Binti Malek, Mantan Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Pahang. Anugerah disampaikan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dalam memastikan ke-men-jadian (@ menjadi)
murid dan sekolah berkualiti demi pendidikan di negeri ini.

“Melalui Yayasan Pahang, pelbagai program telah dirancang melibatkan pelbagai peringkat pelajar dari pra-sekolah hinggalah ke peringkat universiti.

“Malah, program kerjasama ini juga melibatkan Murid-murid Berkeperluan Khas (M.B.K) melalui program-program Pendidikan Khas.
Program-program seperti Pasti-A, Jawab untuk Jaya (e-J.U.J) dan PERHALUS sentiasa dikemas kini setiap tahun dengan tenaga kepakaran daripada Guru-guru
Cemerlang dan Pemeriksa Kertas di seluruh negeri Pahang ini. Tanpa guru, tidak mungkin usaha-usaha ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Di akhir ucapan beliau turut menasihati agar semua warga sekolah sentiasa patuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan apabila sesi persekolahan bermula dan
juga sentiasa amalkan normal baharu dengan mengamalkan kebersihan dan penjarakkan sosial.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: