Gambar fail.

GELOMBANG KESUKARELAWAN PASCA BANJIR MEMBANGGAKAN – MB PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 18 JANUARI 2021: Kehadiran lebih 10,000 orang sukarelawan yang berkorban tenaga dan masa membantu mangsa banjir di negeri ini amat membanggakan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sukarelawan yang ada kini lebih daripada mencukupi dan sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

“Hari ini saya turun meninjau kerja-kerja pasca banjir di Pekan dan kehadiran sukarelawan lebih daripada apa yang dijangka, sama seperti di kawasan lain.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melihat tilam untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pekan.

“Kerja-kerja pembersihan kini dipergiatkan walaupun sukarelawan luar terutama dari zon merah tidak dibenarkan datang ke Pahang. Mereka dari zon hijau boleh datang tapi melalui permohonan kepada pihak berkuasa.

“Itu pun datang hantar barangan atau makanan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kemudian pulang kerana kita semua tahu kes COVID-19 masih meningkat,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Sebelum itu, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy hadir menyampaikan bantuan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Padang Rumbia dan meninjau kerja-kerja pembersihan oleh Sukarelawan Pahang di PPS Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkefli.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika melawat mangsa banjir di Pekan

Dalam pada itu, Dato’ Sri Wan Rosdy turut menyampaikan rasa penghargaan kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

“Sudah menjadi seperti budaya di negeri kita yang sanggup menghulur bantuan tanpa sebarang paksaan. Setiap tempat yang ditimpa bencana banjir ada sukarelawan yang datang menghulurkan bantuan.

“Sebagai contoh sukarelawan daripada Skuad Sabil, Sukarelawan Tunas Warisan, Gerakan Belia 4B Pahang, Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Pekan, badan amal serta banyak NGO yang tampil membantu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga telah meminta pejabat daerah, majlis daerah dan majlis perbandaran supaya menggerakkan agensi-agensi berkaitan supaya membantu kerja-kerja pembersihan sekaligus memastikan kerja-kerja pasca banjir tidak tergendala dan selari.

“Sekiranya tidak mencukupi (tenaga), kita benarkan ambil sumber luar. Kerja-kerja angkat dan mengeluarkan sampah sarap boleh lantik kontraktor luar asalkan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download