FPFP2020 MEDIUM PERKENAL PRODUK PAHANG

KUANTAN, 14 FEBRUARI 2020: Forum Pelaburan Dan Festival Pahang 2020 (FPFP2020) merupakan satu medium Kerajaan Negeri Pahang untuk mempromosi serta memperkenalkan pelbagai produk-produk yang terdapat di negeri Pahang.

FPFP2020 yang dijadualkan berlangsung pada 8 April hingga 12 April depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, menyasarkan syarikat-syarikat yang berminat untuk melabur di negeri ini selain memperkenalkan keunikan yang terdapat di negeri Pahang terutamanya melibatkan kebudayaan, makanan, hasil kraf tangan, serta lokasi-lokasi pelancongan yang bertaraf dunia.

Antara program yang diatur pada FPFP2020 ialah forum pelaburan, persembahan dan pertandingan seni budaya, pertandingan memasak serta bazar jualan.


Turut diadakan adalah program Town Hall Anak Muda Pahang Bersama YAB Menteri Besar Pahang, program selawat dan kaunter perkhidmatan Kerajaan Negeri Pahang.


Pengunjung juga boleh melawat booth-booth melibatkan pemain industri pelancongan Pahang, institusi pengajian tinggi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pahang yang turut disediakan.

FPFP2020 juga akan dimeriahkan dengan Majlis Makan Malam Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Kemuncak bagi FPFP2020 ini adalah acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan istimewa kepada pengunjung.

Orang ramai terutamanya anak-anak Pahang dijemput untuk menghadiri dan memeriahkan lagi FPFP2020 yang berlangsung selama lima hari itu. – PAHANGMEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download