YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

FPFP 2020 PAPAR KEUPAYAAN PAHANG TERIMA PELABURAN BERIMPAK TINGGI

KUANTAN, 27 FEBRUARI 2020: Forum Pelaburan Dan Festival Pahang 2020 (FPFP 2020) yang akan diadakan pada April ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Pahang bagi memaparkan keupayaan serta kesediaan negeri ini untuk menerima pelaburan berimpak tinggi.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara ini yang bukan sahaja akan dapat memberikan manfaat khusus kepada para pelabur tetapi juga kepada keseluruhan anak negeri Pahang secara amnya.

Katanya, forum ini merupakan salah satu usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pahang lebih berdaya saing, terutamanya dalam menghadapi situasi perkembangan ekonomi domestik dan antarabangsa yang semakin mencabar.

“Antara perkara asas yang ingin dinatijahkan di dalam penganjuran forum ini adalah kesediaan Negeri Pahang menjadi sebuah negeri yang berkeupayaan untuk berdikari, dengan memberikan tumpuan utama, khasnya kepada sektor pelancongan dan juga sektor-sektor ekonomi lain yang berpotensi besar untuk dimajukan.

“Umum mengetahui bahawa Pahang merupakan destinasi utama pilihan pelancong di Malaysia, dengan kemasukan pelancong tempatan (domestik) seramai 9.2 juta orang sepertimana yang dicatatkan pada tahun 2018.

“Ini meletakkan Negeri Pahang sebagai negeri yang paling kerap dikunjungi oleh para pelancong tempatan, berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media di dalam laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan inisiatif penganjuran forum ini, jumlah keuntungan dari aktiviti pelancong akan dapat ditingkatkan, selari dengan pertambahan pelaburan yang bakal masuk ke dalam negeri ini untuk masa akan datang.

Sementara itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui forum ini akan diadakan selama empat hari tiga malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 9 April hingga 12 April ini.

“Program seperti slot pemadanan perniagaan (business matching), konferensi bersama ketua pegawai eksekutif anak syarikat negeri (Pahang GLC CEO Conference) dan Bazar Produk Keluaran Pahang akan diadakan bagi memberi gambaran kepada pelabur asing dan tempatan akan luasnya potensi pelaburan yang boleh dicapai sekiranya mereka melabur di negeri ini.

“Forum ini turut akan memperkenalkan adat budaya Pahang seperti cara penyediaan makanan tradisi, seni persembahan dan juga seni halus melalui slot pengenalan budaya. Para hadirin turut akan disajikan dengan persembahan seni budaya Negeri Pahang Darul Makmur seperti Tarian Piring, Gendang Pahang dan lain-lain secara ekslusif,” katanya.

Menurut beliau, pengunjung dan peserta forum juga cukup bertuah kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billa Shah diiringi oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berangkat mencemar duli.

“Lebih istimewa adalah di dalam forum dan festival ini, Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong sendiri akan mengadakan demonstrasi masakan Diraja Pahang khas untuk disaksikan oleh para hadirin.

“Sepanjang forum ini berlangsung, turut akan diadakan sesi town hall yang mana saya sendiri akan berbicara bersama anak-anak Negeri Pahang yang berada di perantauan. Sesi ini bertujuan untuk kita mengenal pasti sebarang cadangan, idea atau permasalahan yang dialami oleh anak-anak Pahang dan bagaimana Kerajaan Negeri Pahang berupaya untuk membantu mereka,” katanya.

Justeru beliau menjemput seluruh rakyat Malaysia yang berkelapangan, untuk hadir ke forum berkenaan untuk meneroka potensi Negeri Pahang Darul Makmur, demi masa hadapan yang lebih gemilang dan kemakmuran yang dapat dikongsi bersama. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: