Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail diberi penerangan pada Program Executive Talk: Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (AKTA 172) bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peringkat negeri Pahang.

EXECUTIVE TALK TINGKAT KEFAHAMAN PERANAN AHLI MAJLIS PBT

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 11 OGOS 2020: Program Executive Talk anjuran PLANMalaysia dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan tugas Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya dari aspek perundangan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berikutan keperluan penglibatan Ahli Majlis di dalam membuat keputusan berkaitan perancangan dan dasar-dasar di PBT.

“Selaku tulang belakang PBT, program ini bermatlamat untuk memberi sebaran berkaitan perancangan bandar dan perundangannya serta peranan Ahli Majlis dalam memacu pembangunan mampan di kawasan masing-masing.

“Secara jelasnya, ia turut dapat meningkatkan kefahaman berkaitan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan peranan mereka di dalam membuat keputusan – keputusan di peringkat PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Executive Talk: Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (AKTA 172) bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peringkat negeri Pahang.

Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia selaku wakil rasmi Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Town Planner (TPr) Dato’ Mohd Anuar Maidin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Abd Rahim Muda; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak serta Pengarah PLANMalaysia@Pahang, Town Planner (TPr) Harizah Hassan.

Sementara itu, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Akta 172 merupakan akta yang sangat sinonim dengan PLANMalaysia atau dahulunya dikenali sebagai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, serta PBT secara amnya.

“Sukacita saya maklumkan, Negeri Pahang telah menerima pakai keseluruhan berserta pindaan-pindaan Akta 172 yang dibuat sejajar dengan keperluan pembangunan semasa,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Program Executive Talk: Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (AKTA 172) bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peringkat negeri Pahang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyokong sebarang bentuk pembangunan yang boleh memberi impak tinggi kepada negara dan negeri ini.

“Melalui pindaan Akta 172, Akta A1129 di bawah sekseyen 2A (2)(b), seksyen 22 (2A) dan seksyen 22 (2B) Kerajaan Negeri akur dan sehingga kini, telah merujuk sejumlah sepuluh projek untuk mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara.

“Projek-projek ini termasuklah projek yang melibatkan pemajuan bagi pembangunan suatu perbandaran baharu, pembinaan apa-apa infrastruktur atau kemudahan utama dan pemajuan yang melibatkan puncak atau lereng bukit dalam kawasan yang telah ditetapkan sebagai kawasan alam sekitar yang sensitif dalam suatu rancangan pemajuan,” katanya.

Katanya, bagi memastikan pembangunan dan perancangan di Negeri Pahang ini tidak terhenti dan terhad di satu-satu kawasan sahaja, Kerajaan Negeri menyokong penuh penyediaan kajian Rancangan Pemajuan Negeri Pahang seperti Rancangan Struktur Negeri Pahang (2050).

“Manakala Rancangan Tempatan Daerah yang telah tamat tempoh telah dibuat penggantian, antaranya Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035 (Penggantian), Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2035 (Penggantian) dan Rancangan Tempatan Daerah Bentong 2035 (Penggantian),” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: