Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Orang Asli Gumum, Nashita Dewi K. Paramanantham menerima surat tawaran daripada Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Peserta Rancangan Tanah Kelompok Khas Kampung Orang Asli Gumum, Pekan hari ini.

EMPAT TAHUN PENANTIAN 133 PESERTA RTK KHAS BERAKHIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Muslimi Abd. Rahim

PEKAN, 17 JUN 2020 : Penantian selama empat tahun 133 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas Kampung Orang Asli Gumum untuk menerima surat tawaran berakhir apabila menerima surat itu daripada Kerajaan Negeri hari ini.

Surat tawaran membabitkan tanah seluas 323.75 hektar tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis khas di Padang Awam Kampung Orang Asli Gumum, Chini, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Orang Asli Gumum yang juga salah seorang penerima surat tawaran, Nashita Dewi K. Paramanantham, 30, berkata mereka berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas pemberian surat tawaran ini.

“Bersyukur akhirnya permohonan yang asal dari tahun 2016 lagi kami dah mohon. Kalau ikutkan tahun 2018 permohonan ini dah lulus tapi oleh kerana pertukaran kerajaan jadi tangguh sementara.

“Kita diberitahu bulan lepas yang permohonan tanah 800 ekar ini telah diluluskan jadi kita semua memang terujalah kerana ia pencapaian yang besar untuk kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, dan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun,” katanya.

Turut hadir dalam majlis penyerahan ini Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Encik Bakar Unus; dan barisan exco Kerajaan Negeri.

Setiausaha MPKK Orang Asli Gumum, Juliana Puling menerima surat tawaran daripada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Peserta Rancangan Tanah Kelompok Khas Kampung Orang Asli Gumum, Pekan hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Juliana Puling, 44, yang juga Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Orang Asli berkata beliau gembira kerana usaha mereka selama empat tahun ini membuahkan hasil.

“Sejak 2016, selama empat tahun ini kita semua bertungkus lumus naik pejabat, turun pejabat, pergi jumpa orang berkenaan untuk selesaikan proses-proses berkaitan dengan surat tawaran ini.

“Arwah (Allahyarham YB. Dato’ Sri Abu Bakar Harun) adalah salah seorang yang banyak membantu kami untuk dapatkan surat tawaran yang kami dapat hari ini.

“Saya berterima kasih dengan Menteri Besar kerana memberi ruang dan peluang kepada kami, masyarakat Orang Asli untuk menerima surat tawaran RTK Khas ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download