Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan ACP Mohamad Noor Yusof Ali menyampaikan sumbangan untuk petugas barisan hadapan oleh pihak McDonalds

EMPAT INDIVIDU DIKOMPAUN LANGGAR ARAHAN PKP DI SEKATAN JALAN RAYA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 JANUARI 2021 : Empat individu telah dikenakan tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang oleh pihak polis di sekatan jalan raya (SJR) daerah ini setelah melanggar Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata empat individu ini melibatkan dua kenderaan yang diperiksa ketika SJR di Jalan Tanah Putih dijalankan.

“Kita telah mengeluarkan dua kompaun setakat ini melibatkan dua buah kenderaan yang tidak mematuhi arahan PKP di SJR ini.

“Ini melibatkan sebuah kenderaan dinaiki seorang pemandu telah dikenakan tindakan kompaun kerana tidak memiliki sebarang sebab untuk keluar, manakala sebuah kenderaan lagi yang dinaiki tiga individu dikompaun setiap seorang kerana menaiki kenderaan melebihi dua orang,” katanya.

Sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan oleh pihak polis di Tanah Putih.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan Lawatan Sekatan Jalan Raya (SJR) Trafik Jalan Tanah Putih Sempena Penerimaan Sumbangan Untuk Petugas Barisan Hadapan oleh pihak McDonalds.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Tuan Nazili Kadir; dan Perunding Operasi McDonalds Malaysia Kuantan, Mohd Arif Abd Hadi.

Sebanyak 100 bungkusan makan telah disumbangkan oleh pihak McDonalds Malaysia kepada 83 petugas melibatkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan JPJ di lima lokasi SJR di seluruh daerah ini.

Beliau berkata setakat 13 Januari sehingga semalam, sebanyak 12,300 kenderaan telah diperiksa di kesemua sekatan jalan raya di daerah ini.

“Daripada jumlah tersebut, 139 kenderaan telah diarahkan untuk berpatah balik disebabkan beberapa kesalahan.

“Antara kesalahan lazim mereka adalah kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau permit; menyalahgunakan laluan servis penting; dan melanggar SOP iaitu keluar rumah tanpa alasan munasabah,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak polis juga telah mengeluarkan kompaun kepada 22 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP bermula 22 Januari lepas sehingga semalam.

“Antara kesalahan mereka ini adalah tidak memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak; serta gagal mendaftar MySejahtera dan menulis maklumat secara manual.

“Selain itu, mereka ini juga dikompaun kerana menjalankan aktiviti yang melanggar SOP PKP; dan juga melibatkan pemilik premis yang gagal mengawal pelanggan dan tidak mematuhi SOP,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download