Anggota operasi dan menyelamat mencari Loqman Hamka, 20, yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang.

DULU KERJA SAYA, KALI INI ANAK JADI MANGSA – BAPA MANGSA LEMAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 28 NOVEMBER 2020 : “Dulu kerja saya mencari orang jatuh sungai. Dua tiga mayat mangsa saya dah ambil sebab lemas jatuh sungai tapi kali ini anak saya yang menjadi mangsa,” kata bapa kepada remaja lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke Sungai Pahang di sini semalam.

Hamka Abu Bakar, 61, bapa kepada Loqman Hamka, 20, yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika melihat rawai ikan di sangkar ikan patin milik keluarganya menganggap kejadian ini sebagai satu ujian buat dirinya dan keluarga.

Hamka Abu Bakar, 61.

“Saya bekas polis, kalau kes jatuh sungai ini dulu, kerja sayalah untuk cari dan ambil mayat mangsa, jadi mungkin Tuhan uji saya dengan kejadian ini, jadi saya kena reda,” katanya ketika ditemui pada operasi mencari dan menyelamat mangsa dekat Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang di sini, hari ini.

Hamka berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu telah keluar ke sangkar ikan tersebut pada 9.30 pagi semalam untuk melihat rawai yang dipasang.

“Selepas Loqman keluar, tidak lama kemudian kawan dia datang beritahu yang bot Loqman telah hanyut tetapi dia tiada dalam dalam bot tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasnuddin Hussin berkata, mangsa masih belum ditemui setakat ini.

“Dalam operasi semalam kita menumpukan pencarian mangsa dalam lingkungan dua kilometer ke hilir sungai dari tempat mangsa disyaki terjatuh namun masih gagal ditemui dan usaha mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 6.30 petang berikutan cuaca gelap.

“Kita telah menyambungkan tugas-tugas mencari dan menyelamat hari ini bermula 8 pagi dan jarak pencarian pada waktu pagi diluaskan sekitar enam kilometer dilokasi mangsa jatuh.

“InsyaAllah pada sebelah petang ini operasi akan bermula semula dimana kita akan tambah enam kilometer lagi sehingga ke Bera Waterfront bersama-sama agensi anggota penyelamat,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 30 anggota penyelamat terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 4,432 total views,  9 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download