ROMPIN, 10 MAC 2010: Dua wanita maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 107.5 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun berkata, mangsa yang maut adalah Norhamizah Ismail, 24, dari Desa Tanjung, Muadzam Shah dan kakak iparnya, Lizawati Mohamed Taib, 34, dari Felda Keratong 4, di sini.
Menurutnya, kejadian jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Satria Neo dari arah Segamat ke Kuantan.
“Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu Norhamizah itu hilang kawalan lalu terjatuh ke bahu jalan namun cuba masuk semula ke laluanya tetapi hilang kawalan.
“Ini menyebabkan kereta berkenaan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang dipandu lelaki berusia 61 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu menyebabkan kedua-dua wanita berkenaan maut di tempat kejadian makanala pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Azari berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Muadzam Shah di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – PAHANGMEDIA