Ahli Dewan Negeri Pulau Manis, YB Dato’ Haji Khairuddin Mahmud menyampaikan replika kunci kepada Encik Amali Mat Adam, 46, di Kampung Sri Damai di Kuantan hari ini.

DUA RUMAH RRP DEWAN NEGERI PULAU MANIS DISERAH

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

PEKAN, 19 FEBRUARI 2021: Dua buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) fasa pertama bagi Dewan Negeri (DN) Pulau Manis diserahkan hari ini kepada penerimanya di Kampung Sri Damai dan Kampung Pulau Manis.

Bagi penerima RRP di Kampung Sri Damai, Encik Amali Mat Adam, 46, dan isteri, Puan Noairy Hashim, 44, hanya rasa syukur dan gembira dapat diluahkan atas pemberian rumah bernilai RM65,000 secara percuma kepada dia sekeluarga.

“Saya, isteri serta dua orang anak sebelum ini menumpang di rumah ibu mentua Khatijah Mat Adam, 69, sejak sepuluh tahun lalu. Saya bekerja sebagai pemandu lori membawa barangan manakala isteri adalah suri rumah sepenuh masa.

Ahli Dewan Negeri Pulau Manis, YB Dato’ Haji Khairuddin Mahmud menyampaikan replika kunci kepada Puan Jamaliah Mahmud, 56, di Kampung Pulau Manis di Kuantan hari ini.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat menjalani hidup bersama keluarga di rumah sendiri. Terima kasih Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negeri serta YB yang membantu kami sehingga dapat memiliki rumah ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Penyerahan RRP disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri Pulau Manis, YB Dato’ Haji Khairuddin Mahmud.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Perumahan Negeri Pahang, YH. Dato’ Azlan Mohd  Yaman, wakil daripada Pejabat Daerah dan Tanah Pekan dan Pejabat Pertanian Daerah Pekan serta pemimpin setempat.

Sementara itu seorang lagi penerima di Kampung Pulau Manis, Puan Jamaliah Mahmud, 56, sebak kerana impian untuk tinggal di rumah sendiri akhirnya tercapai selepas menumpang di rumah peninggalan arwah ibu saudaranya.

“Saya bersama suami, Zulkifli Amin Salleh, 56, yang bekerja sebagai tukang rumah serta lima anak pernah menyewa di rumah tinggalan dengan sewa RM50 sebulan. Selepas itu tumpang tinggal di rumah arwah ibu saudara di PPRT Pulau Manis selama beberapa tahun sebelum terpilih menerima RRP ini.

“Tiada kata dapat menggambarkan perasan saya kerana terpilih menerima rezeki rumah ini, hanya mampu bersyukur dan sangat berterima kasih kepada MB, Kerajaan Negeri, YB dan pemimpin setempat yang begitu baik menjaga rakyat tidak berkemampuan seperti kami,” katanya.

Dalam pada itu, YB Dato’ Haji Khairuddin berkata, usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Pahang melalui ilham Menteri Besar Pahang sendiri telah memberi sinar baru kepada rakyat yang memerlukan.

“Bantuan rumah ini adalah salah satu bukti Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membela nasib rakyat dan akan melaksanakan pelbagai lagi projek yang memberi manfaat berterusan.

“Bagi DN Pulau Manis sendiri, telah selesai serah dua buah rumah pada tahun ini dan kini dalam proses memilih dua buah lagi rumah bagi penerima fasa seterusnya. Kita amat harap ia memberi manfaat dan kehidupan lebih baik kepada mereka yang menerimanya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download