Timbalan Ketua Polis Pahang, YDH DCP Dato’ Mohd Yusri Hj. Hassan Basri melihat mesin melombong mata wang kripto bitcoin di dua premis di Batu 3, Jalan Gambang di Kuantan.

DUA PREMIS CURI ELEKTRIK UNTUK MELOMBONG BITCOIN DISERBU

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN 9 FEBRUARI 2021: Dua buah premis di Batu 3, Jalan Gambang di sini yang dikesan melombong wang kripto atau bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik, diserbu pihak polis pagi tadi.

Dalam serbuan jam 11.15 pagi itu, pihak polis telah menahan empat lelaki berusia lingkungan 22 tahun hingga 39 tahun yang sedang menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin.

Timbalan Ketua Polis Pahang, YDH DCP Dato’ Mohd Yusri Hj. Hassan Basri berkata, dalam serbuan itu juga, sebanyak 159 buah mesin bitcoin iaitu 74 buah mesin di premis pertama dan 85 buah mesin di premis kedua telah dirampas.

“Siasatan juga mendapati saspek telah membuat penyambungan elektrik secara haram di kedua-dua premis berkenaan.

“Anggaran kerugian elektrik secara kasar yang ditanggung oleh pihak TNB adalah RM80,000 sebulan bagi kedua-dua premis. Premis itu juga disyaki beroperasi selama tiga bulan,” katanya dalam sidang media di premis berkenaan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri bekalan elektrik yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Ketua Polis Pahang, YDH DCP Dato’ Mohd Yusri Hj. Hassan Basri

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan memotong atau merosakkan kabel yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Difahamkan, premis itu turut diubah suai supaya ia kelihatan seperti premis kosong dan beberapa lapisan papan lapis didapati digunakan untuk menghalang bunyi kuat keluar daripada premis-premis terbabit. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download