Oleh: Fairus Mohd
Foto: Ihsan Bomba
LIPIS, 28 FEBRUARI 2020: Dua beradik perempuan dikhuatiri lemas selepas dibawa arus deras Sungai Jelai ketika beriadah bersama tiga lagi adik beradik mereka di Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai di sini, petang semalam.
Mangsa, Siti Nur Hidayah Mohd Rosli, 19, dan adiknya, Siti Suhaida, 15, dari Perumahan Agropolitan Gahai, Kuala Lipis masih belum ditemui setakat ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kelima-lima beradik itu ke taman rekreasi terbabit untuk beriadah.
“Mangsa pada mulanya bermain-main di gigi air dan seterusnya bergerak ke tengah sungai serta terus dibawa arus sungai.
“Seramai 36 anggota terdiri daripada pegawai dan anggota polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi, operasi yang turut dibantu penduduk kampung telah dihentikan pada jam 7 petang semalam dan kembali bersambung pagi ini. – PAHANGMEDIA