DATO’ JUHANIS SEDIA PIKUL SUARA WANITA DI DEWAN NEGARA

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 26 OGOS 2021 : Lebih 35 tahun berkecimpung dalam politik menjadikan YH Dato’ Juhanis Abdul Aziz lebih matang dan mampu memikul bebanan tugas yang lebih besar dan mencabar.

Antara kriteria itu jugalah yang turut menjadikan beliau terpilih sebagai calon Senator dan perkara berkenaan diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, semalam.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang yang bersidang semalam telah meluluskan usul mencalonkan dua nama bagi mengisi kekosongan Senator di Dewan Negara.

YH Dato’ Juhanis Abdul Aziz

Usul yang dibawa oleh YAB Menteri Besar Pahang itu disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan Negeri Pahang.

Menurut figura Wanita UMNO Temerloh yang dilahirkan pada 3 Julai 1961 di Kampung Jeragan, Lanchang Temerloh ini, pemilihannya adalah satu penghargaan yang diterima penuh rasa syukur dan bangga.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Exco-exco serta rakan-rakan seperjuangan yang memberi kepercayaan kepada saya sehingga dicalonkan sebagai Senator.

“Saya sebenarnya telah berkecimpung dalam politik begitu lama, malah saya memegang jawatan di peringkat UMNO bahagian selama 35 tahun dan menjadi ahli UMNO sejak berusia 18 tahun lagi,” katanya.

Kata ibu kepada enam orang anak itu, beliau mempunyai misi yang akan dibawa jika dia terpilih menjadi Senator nanti.

“Dicalonkan di bawah kuota Wanita, sudah pastilah saya akan memperjuangkan dan memartabatkan hak-hak wanita.

“Di samping itu, saya akan membantu membangunkan negara dan negeri, menyokong dari segi ekonomi serta setiap aspek pembangunan negara terutamanya dalam keadaan negara masih bergelut dengan wabak COVID-19,” katanya.

Sedikit mengenai Dato’ Juhanis, beliau merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Temerloh dan pernah memegang jawatan sebagai Ali Majlis Daerah Temerloh dan Majlis Perbandaran Temerloh.

Beliau juga sangat aktif memegang jawatan penting dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Ibu Tunggal Daerah Temerloh dan PERKIM Wanita Temerloh selain pernah memegang jawatan dalam 14 buah NGO.

Mula melibatkan diri secara aktif dalam bidang politik semenjak tahun 1988 beliau diberi kepercayaan dengan mendapat sokongan untuk terus berkhidmat kepada rakyat melalui pencalonannya sebagai Ahli Dewan Negera. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram