Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah.

DATO’ HAJI NAZRI NAFI POSITIF COVID-19, KESAL LAPORAN AKHBAR

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2020: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah menafikan dakwaan kononnya beliau positif COVID-19 seperti yang disiarkan di dalam portal berita Sinar Harian awal pagi hari ini.

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya sedang menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Hospital Temerloh, sebaliknya hanya pemantauan sehari sementara menunggu keputusan COVID-19 keluar dan sudah dibenarkan keluar dari hospital tengah hari tadi.

Pegawai Khas Media Exco berkenaan, Haji Shahariman Talib berkata, YB. Dato’ Haji Nazri tidak pernah mengesahkan kepada mana-mana media yang beliau positif COVID-19 seperti yang disiarkan akhbar berkenaan.

“Wartawan yang membuat laporan berita berkenaan juga tidak bertanggungjawab apabila mendakwa YB. Dato’ positif COVID-19 pada berita awal yang dikeluarkan.

“Saya lihat berita itu dimasukkan ke dalam portal berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi tadi yang menyiarkan berita yang YB. Dato’ positif COVID-19. Tapi kenyataan itu tidak benar dan beliau tidak pernah bercakap mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun tidak lama kemudian berita yang disiarkan itu ditukar selepas keluar kenyataan Menteri Besar Pahang yang menafikan dakwaan kononnya YB. Dato’ Haji Nazri positif COVID-19.

“Saya sudah menghubung wartawan yang menulis berita berkenaan bagi meminta penjelasan kenapa menyiarkan gambar dan laporan yang tidak benar mengenai keadaan EXCO.

“YB EXCO juga tidak pernah berkata “saya tak nak jadi begini” seperti tajuk yang digunakan oleh akhbar berkenaan.

“Justeru YB EXCO kesal dengan dakwaan berkenaan dan meminta pihak Sinar Harian meminta maaf di atas laporan yang tidak benar mengenai kesihatan beliau,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media hari ini berkata, ujian kedua COVID-19 menerusi PCR (Polymerase Chain Reaction) terhadap Nazri yang juga Ahli Dewan Negeri Pulau Tawar didapati negatif. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 114 total views

Please follow and like us:
error
error: