Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 JANUARI 2021 : Data banjir di kawasan setempat perlu dikemaskini bagi memastikan kesan bencana pada masa akan datang dapat dikurangkan.
Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan II , YB. Mohd Shahar Abdullah berkata, data ini akan memberi refleks kepada keseluruhan masyarakat yang terkesan akibat banjir.
“Perkara-perkara ini walaupun sampel kajian yang kita buat ini agak kecil, tetapi ia memberi refleks kepada keseluruhan masyarakat yang terkesan akibat banjir ini.
“Data ini juga akan menambah baik data sedia ada iaitu data yang terkesan dengan banjir. Ini isu ini adalah isu infrastruktur isu keadaan sekeliling, sebab dia tak boleh hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja yang kemaskini, dia mesti melihat keseluruhan, bagaimana kapasiti design tali air tu, adakah mencukupi dengan norma baharu sekarang, dengan keadaan cuaca dan iklim yang berbeza-beza.
“Ini perkara-perkara yang ingin kita lihat sebab data yang kita buat berasaskan yang dulu, bila berlakunya banjir sudah mesti ia memberi kita satu peningkatan dari segi maklumat yang terkini tentang keadaan yang berlaku sekeliling. Bagi saya yang pentingnya untuk kita melihat sampel ini akan digunapakai untuk keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada Orang Asli mangsa terjejas banjir di Dewan Orang Ramai Sungai Mas, Sungai Lembing, di sini, hari ini.
Beliau berkata data yang dikumpul oleh Pejabat Parlimen Paya Besar dijangka selesai pada Jumaat ini sebelum dibawa kepada mesyuarat bersama Menteri Kewangan.
“Kita dah mula (kumpul data) pada hari yang pertama (banjir berlaku), saya sendiri turun khususnya di tiga kawasan iaitu bandar Sungai Lembing, perkampungan Orang Asli, dan perkampungan luar bandar seperti di Kampung Rambutan.
“InsyaAllah hari Jumaat ini akan selesai dan hari Rabu saya ada mesyuarat post kabinet, saya akan melaporkan kepada Menteri Kewangan tentang apa yang sedang berlaku di kawasan-kawasan,” katanya.
Seramai 647 orang daripada 182 keluarga Orang Asli Kampung Sungai Mas yang terdiri daripada suku Jakun dan Semoq Beri menerima bantuan berupa bekalan makanan setelah kampung mereka terputus hubungan selama dua hari akibat banjir. -PAHANGMEDIA
678 total views, 21 views today